SOCIALIZATION

Tuesday, April 28, 2015

Menanti Mentari - Kuku Kambing



sumber


Tiga sekawan biru berlari, berkejaran sesama sendiri. Tidak tahu mana yang mengejar mana yang dikejar, mana dahulu mana akhirnya itu. Ligat. Tanpa rasa penat. Cukup bertenaga. Pantas walau bersahaja. Menarilah ketiga-tiganya mengelilingi sang besi nan satu, tunggal berputar berpaksi nan termeteri. Sambil dipaut erat kawanan biru, ia merindu. Merindu si putih yang pernah suatu ketika menemani mereka sepanjang masa, kala hidup, kala matinya semua. Namun tinggal kenangan. Penutup tengah bilah kipas itu hilang entah ke mana selepas dicabut dan dibersihkan Rahmat bulan puasa tahun sudah. Bilah-bilah plastik itu terus berputar, meniup angin menusuk isi dan temulang Rahmat. Subuh.

Sayup-sayup kedengaran ayam berkokok. Jauh dan dekat, sama sahaja bunyinya. Bertalu-talu, bersahut-sahutan menerpa ke telinga pemuda kampung itu. Acah-acah sedar, Rahmat menggagahi keringat dan semangat - membuka kelopak mata. Ah, angin kipas tiba-tiba menyapa matanya. Pedih. Lantas dipejam kembali, kononnya memberi masa untuk matan pulih dari 'kecederaan' dek angin yang tidak selaju mana itu. Alasan. Rahmat yang sedang berbaring berkain pelikat hitam berkotak merah digulung tinggi separas bawah lutut tanpa berbaju terus mengeliat, merengkoh kembali tubuh yang tadinya mengiring kaku. 

KRRRRIIIIIIIIIIIIIIINNNNGGGGGG. 5.30 pagi.

****

"Kau tak ke sawah hari ni, Mat?" Dari dapur ibu Rahmat memekik kepadanya yang sedang duduk-duduk di pinggir katil kayu bertilam toto lipat tiga pemberian rakan karibnya yang membeli-belah di Padang Besar bulan lepas. Lantang, hasil latihan menjerkah anak-anak serta ayam itik tiap-tiap petang menjelang maghrib.
"Kejap lagi mak. Nak tarik semai untuk Haji Seman sama. Lambat sikit turun katanya semalam."
"Ni bekal kau mak tak buat lagi."

Tipu. Rapatlah bagaimanapun tutupnya pintu bilik, Rahmat tetap dapat hidu bau nasi goreng buatan ibunya. Senyum. "Jap lagi orang cedok sendiri. Jangan lupa ikan masin, mak!"

"Tak kuasa aku. Goreng sendiri! Air teh kau dah dalam tupperware biasa tu."

Sambil Rahmat tersenyum mendengar omelan bonda tercinta, ada sekeping foto di tangannya - yang juga punca senyuman itu terukir lebih indah di wajah. Foto bersaiz 4R itu ditatap direnung. Gambar seorang gadis berkulit cerah mulus berambut panjang ikal mengurai dari kulit kepala menuruni kedua belah pipinya melewati bahu. Lembut paras rupa. Cantik alis mata. Terletak keningnya. Mancung hidungnya. Tertutup rapat bibir, menyerlah kuntum senyum yang diukir. Namun bau nasi goreng kegemarannya sedikit-sebanyak memanggil-manggil Rahmat ke dapur dengan kadar segera. Lantas disimpan semula foto gadis tersebut di dalam laci almari yang sedang terpelahang luas. Elok diletak, beralas kain pelikat yang belum diguna, pemberian si dia.

Daun pintu almari usang itu ditutup kembali. Rahmat bingkas bangun membetulkan gulungan kain pelikatnya yang hampir terlondeh. Kurus sangat. Lantas berjalanlah anak muda awal 20-an itu melangkah gagah menuju pintu yang disendal rapi. Kriuk kriuk bunyi anak lantai dipijak Rahmat. Menapak yakin. Matlamatnya, dapur.

****

Sesekali dia mendongak langit, melihat awan, mencari mentari pagi yang masih segan-segan menampil diri, berselindung di ufuk timur nan gemilang. Bayu lembut kadang-kadang mengusik tubuh Rahmat yang terbongkok-bongkok menanam anak padi di petak sawahnya.Peluh memercik dari segenap liang di dahi dan roma tangannya. Lencun kemeja buruk uniform kerja Rahmat lantaran tubuhnya berkumuh dek rajin membanting tulang memerah keringat demi sejemput rezeki. Kicau burung tidak segiat selalu. Barangkali masih terlalu awal, fikir Rahmat.

Ada masanya Rahmat menghela nafas panjang. Dalam disedut udara segar kampungnya yang masih belum tercemar. Ditahannya di paru-paru, seraya dihembus lembut sebelum diulang kembali beberapa kali. Sesudah nafas dihela puas, dia menyambung tugas menyucuk anak-anak padi ke selut dengan penuh tekun. Dicarik satu per satu, digenggamnya akar anak padi yang terumpun molek, lantas disemat ke tanah dengan kuku kambing milik bapa. Mujur sedari kecil ayahnya telah mengasuh Rahmat supaya terbiasa hidup susah dan bersusah payah. Dari situlah dia belajar cara mengusahakan sawah - menyemai benih, menarik anak padi, bercucuk tanam padi dan seumpamanya. Kalau diikutkan usia, rata-rata anak muda sebaya Rahmat sudahpun bekerjaya dan hidup senang-lenang disulami pendapatan lumayan di kota. Setidak-tidaknya mampu membeli Honda EX5 dengan ansuran bulanan yang berpatutan hasil berjaga siang malam mengikut syif di kilang.

Namun tidak bagi Rahmat. SPM-nya bagus. Lulus cemerlang dengan kepujian. Dua tangan juga bilangan A nya. Dan bukan juga halangan orang tua. Si ibu sampai meluat menasihati Rahmat supaya keluar mencari kerja setaraf dengan kelayakan pendidikannya. Hari-hari perkara sama diulang. Cari kerja elok, Mat. Cari kerja elok, Mat. Jampi harian ibunya. Dan sehari-hari jua lah dia terus berbakti mengerah tenaga mengusaha sawah yang ada, menepis jampi serapah bonda. Dia ada alasannya. Biar bumi bergegar langit runtuh ribut petir halilintar, biar badai mengamuk melanda, biar gunung musnah dilanggar garuda - Rahmat tetap di sawah dan batas ubi dan kebun pisang serta keladi. Dia ada alasannya.

"Kau menung apa, Mat?" Sergah si ibu. Tersedar dar anganan, Rahmat berpaling memerhati bonda tercinta sedang menuang air teh bekal dibawanya pagi tadi ke dalam cawan plastik yang biasa diguna. Teh kelat, tanpa gula. Minuman wajib mereka.
"Mak datang dengan apa? Tak dengar bunyi motor pun?" tanya Rahmat kehairanan. Biasanya kapcai C70 itu jelas dentum-dentam ekzos diperdengar tatkala dipacu ibunya Rahmat ke sawah. Tersipu sebentar dek kantoi berangan, mengelamun di tengah bendang yang luas. Ya, burung-burung mula memeriahi dada langit. Terbang rendah seakan merai sesuatu. 

"Mak datang dengan menantu mak la."
"Aik? Menantu mak yang mana ni?" Rahmat berseloroh. Di sebalik kerut dahinya, senyuman terlukis perlahan-lahan di bibir.
"Kau ingat ada ramai sangat ke yang nak ke kau? Ada pun sorang tu, bertuah dah Mat oii.."

****

Teh pekat tanpa gula itu dihirup perlahan. Masih panas. Bisa membakar lidah dan tekak andai diteguk selamba. Dengan tertib dia meletak kembali hidangan tersebut di atas meja, lantas mengacau air teh di dalam gelas kaca itu dengan sudu kecil. Kting kting kting, bunyi sudu berlaga dinding gelas. Maka kelihatan jalur-jalur halus terbit dari permukaan air naik ke udara umpama asap yang tidak menjadi.

Dilihatnya jam dinding tergantung kemas sejengkal dari atas pintu pejabat. Manusia lalu-lalang setiap ketika melintas di hadapannya tanpa menghirau kelibat Rahmat yang sedang duduk menghadap ketiadaan. Keasingan. Kegusaran. Ketakutan. Itulah kali pertama dia menjejakkan kaki ke firma terkenal seumpamanya. Itulah jua kali pertama Rahmat mendengar cakap seseorang selain ibu bapanya. Masih terngiang-ngiang kata-kata darinya yang tidak dapat tidak diturut jua Rahmat atas dasar memikirkan apa yang terbaik buat keluarga, dirinya, dan dia. Mereka. "Good luck, awak." Ungkapan semangat yang disisip buat Rahmat. Mekar mewangi di ingatan, jiwa, hati. Menjadi penguat utama kakinya melangkah ke mana dia berada sekarang.

"Awak ada pengalaman kerja?" Tersentak Rahmat mendengarnya. Hilang habis wajah si dia yang tadinya bermain di matakepala. Terus, Rahmat memandang tepat ke wajah Encik Mokhtar, pegawai penilai tempat dia mencari ruang dan peluang untuk rezeki dan kehidupan yang lebih baik. Pegawai atasan Salmah.
"Saya..."

****

Nasi goreng masakan ibunya habis dijamah bersama. Mentari kian tinggi.