SOCIALIZATION

Wednesday, December 11, 2013

Kenangan 11/12/13



raaaaaaaaahhhh!!!

*flips table*

jam 9.18 minit malam. ah, lagi dua belas minit, getus hati kecilku. saban waktu aku menanti jam 9.30 malam di hadapan tv plasma 42 inci ini demi menonton siaran kegemaranku di TV Al-Hijrah. 30 minit Ustaz Don. mesti mahu.

kipas siling berputar perlahan. terpaksa aku perlahankan kelajuannya dek takut tercabut lantas bertebaran mengikut tarikan graviti seraya mencantas-cincang tubuhku yang berada tepat di bawahnya, tubuh yang makin malas dari hari ke hari ini. ah... imaginasi mentah.

"lapar la pulak" , jerit batinku meronta dalam diam. ingin makan.

dari bermalas-malasan di sofa, bingkas aku bangun. kain pelikat kugulung, kubetulkan. kunci, mana kunci rumah? mana remote astro? jenuh tanganku menyeluk tepi dan bawah sofa mencari permata yang hilang. ya, permata itu adalah kunci rumah. tanpanya aku tak bisa ke mana-mana.

"oh. sini rupanya." kunci rumah ada dalam gulungan kain pelikat. nah, tertawa kecil aku sendirian. lantas alat kawalan jauh astro kucapai, dan kuletak semula kerana tidak tahu apa motif aku mencapainya sebentar tadi. 

longlai aku melangkah menuju pintu utama. satu persatu kunci dan selak kubuka. daun pintu aku kuakkan ke dalam agar dapat aku menapak keluar. kututup kembali daun pintu yang terkuak tadi; aku kunci. nah, ada pula pagar yang berpedal ayam. dalam sayup-sayup cahaya lampu parkir rumah jiran, aku mencari seliparku yang setia. di manakah ia agaknya, aku bertanya dalam suara yang perlahan. malu, jika jiran-jiran mendengar aku mencari selipar dalam gelap walhal aku seharusnya lebih awal menghidupkan lampu parkir rumahku sendiri. ah! jumpa.

aku rasa baik aku cepatkan cerita ini.

di gerai burger, atau aku lebih gemar menyebutnya 'beger,' sekitar gerai, ku lihat ada beberapa susuk tubuh sedang berdiri termanggu berpeluk tubuh diam berteleku. menanti giliran pesanan mereka siap, barangkali.

"kak, beger daging istimewa satu." pesanku.

agak lama wanita itu berdiam diri sambil merenungku. tangannya yang tadi mengalih-alih daging dan roti yang hangat di atas dapur keluli, tiba-tiba terhenti. dari gerak bibirnya aku mengagak dia ingin menyampaikan sesuatu namun berat benar untuk meluahkan bagai ada yang menyekat tutur bicaranya dan--

"beger daging special ka?" dia menyoal

"ha'ah. daging special." hampir sahaja aku menepuk dahi sendiri akibat ketidakupayaan aku menepuk dahinya dek hormatnya aku pada wanita dan orang yang lebih tua. tidak mengapalah. biar berbeza jalan, tapi sama tujuan. 

nyamuk. aku benci nyamuk. kenapa mesti ada nyamuk tatkala aku menunggu sesuatu yang belum pasti. dulu semasa aku menunggu durian gugur di dusun arwahnya tokwan ku, nyamuk jualah yang menguji kesabaran dan ketahanan fizikal dan mental ku. kalaupun hantu yang datang belumlah aku gentar kerana tahu lemahnya mereka dengan ayatul Kursi. tapi nyamuk! kau baca satu kitab pun belum tentu kau dapat menghalau nyamuk!

sementelah, aku perhati anak wanita penjual beger itu menyiapkan hidangan dan pesanan. dari perbualan mereka aku tahu mereka berniaga kain baju di sebuah bandar di negeri ini. nah, aku juga tahu bila mereka dijadualkan terbang ke negara jiran untuk mengambil bekalan pakaian demi dijual di sini pada harga yang sekurang-kurangnya sekali ganda menguntungkan. aku tidak pasti samada pelanggan lain juga meneliti perbualan itu, kerana gayanya mereka kelihatan agak sugul dan ingin meledak kemarahan namun tertahan. harus, seandainya aku di tempat mereka aku juga berperasaan sedemikian. mungkin.

dalampada aku mengelamun memikirkan hari-hari yang mendatang, hatiku terdetak untuk kembali ke realiti- memerhatikan situasi pesanan-pesanan kami tadi. sedang aku meneliti hasil kerja mereka, tiba-tiba penglihatanku terpana dalam pandangan tepat mata sang anak.

"bang, daging special satu, siap." abang. bila pula aku mengahwini kakaknya. senyum aku sendiri.

"berapa ringgit?"

"empat ringgit dua puluh sen."

amboi. agak tidak murah juga beger di kedai ini ya. sedap amat barangkali. tanpa berfikir panjang kuhulur nota merah bernilai sepuluh ringgit kepadanya. diambilnya dengan tangan kanan lantas dimasukkan ke dalam bekas plastik bertutup berjenama 'Apple Lady' di atas ruang kerjanya tadi. seraya itu kedua tangannya melilau mencari sesuatu. baki, mungkin. hatta setelah berjumpa beberapa keping nota bernilai bertandatangan Gabenor Malaysia berwarna biru, barulah dia melipat wang kertas bernombor siri tidak berturutan itu untuk dipulangkan padaku.

"terima kasih. maaf bang, lambat sikit." sikit. katanya.

"aa, takpe-takpe." balasku, senyum. ayuh, Ustaz Don menanti!

laju aku menapak. langkah besar ku buka. seberapa pantas aku cuba sampai ke rumah. hantu syaitan kucing hitam ribut taufan anjing liar tidak ku peduli.

"aih, laju sangat tu. dari mana?" ada jiran menegur sebaik ternampak aku mempercepatkan langkah. prihatin, bisikku.

"ha, tadi lupa tutup iron! tu yang nak cepat ni. haha." bodoh kau, an. sudahlah menipu, tak menjawab soalan pulak tu. dasar tak pandai menipu. huh.

aku patut cepatkan lagi cerita ini...

jam menunjukkan waktu; 10.13 malam. argh!! setengah jam lebih masa yang wanita penjual beger serta anaknya itu ambil untuk siapkan pesanan yang tak seberapa banyak itu. kecewa, aku kecewa. dengan langkah sedikit kepenatan pada emosinya, ku heret kaki ini yang mendamba rehat dan rawat. dumm! badan yang malas ini ku hempas ke sofa bertentangan televisyen plasma 42 inci yang telahpun bertukar siaran kepada sebuah rancangan yang tidak ku ketahui tajuknya.

aku duduk. sambil mengadap televisyen, perlahan, pembalut beger ku buka. harapanku menggunung! nah!! burger daging istimewa di hadapanku!!


tampak lazat, bukan? ya. aku tahu. aku juga berfikiran sebegitu. sehinggalah... sehinggalah...

nanti. aku perhatikan beger daging istimewa yang kuterima. di mana hijaunya? mana dedaunan segar yang lazimnya ada dalam setiap beger? melainkan pemesan meminta 'beger tanpa sayur,' maka logiklah tiada helaian hijau nan malar diapit celahan daging dan roti. sabar, kutenangkan diri. mungkin tersorok barangkali. demikian, aku alih isi perut beger tersebut dengan penuh harapan dan istiqamah.



"hoi kedekutnya!?" terpacul frasa itu dari mulutku tatkala aku menyelak-buka kepala roti beger. hanya sekelumit sos cili yang ditampilkan di atas kepingan daging berbalut telur goreng itu! ah... ini benar menguji. baek. namun... masih belum kutemu helaian dedaun hijau seperti yang ku bayangkan. timun? mana timun?? aku mengangkat keping daging bersalut telur goreng itu...

"What the...!?" nah. terbit sudah frasa inggeris yang popular itu. alangkah terperanjatnya aku pabila melihat sekeping keju di atas rimbunan sayuran putih dan jingga itu... berbentuk segitiga!!


keju!! kenapa perlu dibelah dua!?? kenapaaaaaaaa!!?? terasa ingin ku jerit sekuatnya. baeklah, ku jerit sekuatnya.

hampa. aku hampa. sudahlah helaian hijau penuh khasiat tiada, kejunya juga dibelah dua menjadi segitiga. ah... sengkek benar mereka. tidakkah mereka tahu, kepuasan hati pelanggan boleh membawa doa yang baik-baik belaka kepada mereka? dalam kekecewaan, aku merungkai isi perut beger daging istimewa itu buat kali terakhir.




benar kata orang; keajaiban tidak berlaku pabila diminta. harapan dan impianku musnah. hanya sekeping hirisan timun yang kutemu. itupun sudah kuning, sudah kecut sudah layu. hatiku menangis teresak-esak. hanya satu jalan akhir yang mungkin mengubat duka lara di jiwa. rasa. maka kutepis segala kenangan hitam tentang beger daging istimewa itu, ku susun semula segala isi perutnya seperti sediakala. dengan berat hati ku nganga mulut seluas mampu, ku gigit kecil pinggir beger itu.

indah khabar dari rupa. maaf, rupanya pun sudah tak indah. sudahlah huduh, tak sedap pula. pada harga RM4.20, beger daging 'special' ini memang serba kekurangan. nikmatnya tiada. istimewanya hanya pada nama...

"tak beli dah kat sini. kompem" . kenangan 11/12/13 yang takkan ku lupakan.

aku lapar..


4 comments:

MohdIzwan said...

Gigih la baca sampai abes..

Ingat kot la ada selisih dgn awek ka..terlanggaq awek waktu dok kalut2 nk balik..tiada rupanya.

-pembaca hampa yg mendambakan aiskrim-

anonymous said...

nak wat cmno...berniaga berdasarkan keuntungan bukan keikhlasan dalam perniagaan..itulah yang berlaku didunia yang fana ni sekarang.. #pasrah

21adaaa said...

Dkt mana tu? Tak nak pegi. Baik beli dkt dc *u know where dc is if u're uitn shah alam student* berganda lagi sedap dan murah.
Beger special dkt dc da la sedap murah patposen plak tuu. *LAPAR*

Antara said...

DC? bukak lagi ke? ritu lalu tengok kelam je... mcm tak running dah je. eheh