SOCIALIZATION

Thursday, April 3, 2014

Ayah Itu




ayah

ayah itu lelaki
lelaki pertama kau kenali
terdahulu kau temui
sebelum diri sendiri

ayah itu lelaki yang 
terawal mendukungmu
terawal menciummu
mengusap rambut
membilang jemari
mengukur tapak kaki
mengucup ubun-ubun
pipi
mata
dahi

ayah itu seorang
yang bangun pagi
tatkala kau masih berselimut
yang menghirup kopi
tatkala kau masih berdengkur
yang keluar mengayuh basikal
menunggang motorsikal
memandu kereta
memandu lori
teksi
bas
mengendali keretapi
kapal terbang
mesin padi
jentolak
traktor
kubota
yang berjalan kaki
demi mencari
sesuap
rezeki.

ayah itu
pendiam
pemarah pendendam
pendengus perengus
penampar penendang penyepak 
pelempang... penyayang
pelindung
pengasih
pengampun
penenang jiwa 
pembela si manja

ayah itu orang yang
kau peluk kala kau gembira
kau dakap bila kau hiba
kau cari bila kau takut hantu
kau pergi berlari bila kau takut petir dan guruh
ayah itu orang yang 
tak pandai memujuk dengan bahasa
tapi dengan tingkah lakunya
dia tidak mudah melafaz kata
namun kau tahu
namun kau rasa

ayah itu tempat
kau minta wang belanja
kau minta buku dan baju
kau minta duit raya
laptop, kamera, telefon baru
ayah itu tidak bersungut tidak merungut
dia tidak mengeluh dia tidak kisah
dia tidak pernah berkira
asalkan kau bahagia

ayah itu, pernah kau tinggi suara padanya
ayah itu, pernah kau panggil menyusahkan
ayah itu, pernah kau benci, pernah ketepi
ayah itu, yang pernah kau rasa memalukan
adalah yang selama ini membesarkan
memenuhi segala permintaan kau
bukan?


ayah itu

ayah itu
semakin tua
semakin dimamah usia
semakin kudratnya tiada berdaya
melihatkan kau semakin dewasa
tahulah dia akan masa
masanya yang akan tiba
untuk dia pergi
untuk kau mengerti

nah
kini ayah itu
tiada lagi di sisi
kini ayah itu 
tidak lagi menyuapmu nasi
kini ayah itu 
tidak lagi memboncengkan kau dengan Honda C70 nya setiap petang
tidak lagi membelikan kau sekotak Ding Dang
tidak lagi mengejut kau bangun pagi
tidak lagi mengajar kau mengaji

dan ketika itu
kau merindu
ayah itu


-anak abah-




salam ulangtahun kepergian, abah.
sedari 5 April 2007
adik rindu


No comments: