SOCIALIZATION

Friday, May 30, 2014

Kemangkatan Sultan Azlan Shah & Permasyhuran Raja Nazrin Shah



assalamualaikum

adapun telah kita diberitakan akan kedukaan rakyat jelata negeri Perak Darul Ridzuan bahawasanya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Ghafarullahu-lah Shah telahpun mangkat.




Baginda yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara disahkan mangkat pada jam 1.30 tengah hari, hari Rabu, 28 Mei 2014 pada usia 86 tahun. Baginda menghembuskan nafas terakhir di sisi Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

demikian perkhabaran, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir membuat pengumuman rasmi menerusi RTM. maka Khamis, 29 Mei 2014 diisytihar sebagai cuti umum bagi seluruh negeri Perak, seraya dengan hari pemakaman almarhum Sultan. lantaran itu bendera persekutuan akan dikibar separuh tiang selama tujuh hari, dan bendera negeri Perak akan dikibar separuh tiang selama 100 hari bagi menandakan tempoh berkabung, bermula hari Khamis tadi. segala bentuk keraian, keramaian dan hiburan dibatalkan/ditangguhkan bagi tempoh tujuh hari berturut tersebut.


sumber

Jenazah Almarhum disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah bertujuan membuka kesempatan bagi mereka yang ingin menziarahi dan memberi penghormatan terakhir. seawal jam 8 pagi Istana Iskandariah telah mula dikunjungi oleh orang ramai yang sedih dan berduka dengan kepergian almarhum yang dikasihi. Raja-Raja Melayu, Raja-Raja Perempuan, Sultanah-Sultanah, Tuan Yang Terutama, kepala-kepala negeri, pembesar-pembesar, orang-orang kenamaan dan pembesar asing memberi penghormatan terakhir mereka bermula tengahari hingga jam 2, sebelum istiadat pemasyhuran Sultan Perak ke 35 yang baharu.




Sebelum jenazah almarhum dimakamkan, adalah menjadi amanah dan tuntutan dalam Islam, yakni seorang kepala agama atau pemerintah mestilah dilantik terlebih dahulu demikian memastikan kelangsungan Islam itu sendiri agar tidak terputus. Lantas, anakanda almarhum baginda, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dimasyhurkan sebagai pengganti, yakni Sultan Perak ke-35.

memetik artikel Berita Harian bertarikh 29 Mei 2014;


KUALA KANGSAR: Raja Dr Nazrin Shah diisytiharkan sebagai Sultan Perak ke-35, menggantikan Almarhum Sultan Azlan Shah yang mangkat semalam. 
Istiadat Pelantikan Raja Pemerintah Perak yang baharu itu berlangsung di Balairong Seri Istana Iskandariah, di sini, pada jam 3.14 petang tadi.  
Pengumuman pelantikan itu dibuat oleh Orang Kaya-Kaya Seri Maharaja, Tan Sri Jen B Mohd Zahidi Zainuddin.  
Dalam lafaz sumpah, Sultan Dr Nazrin Shah bertitah: "Bismillahirrahmanirrahim... adalah kita, Raja Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah bersumpah dengan Wallahi Wabillahi Watallahi bahawa kita mengaku memerintah negeri Perak Darul Ridzuan dan sekalian jajahan takluknya menurut perlembagaan negeri Perak dengan adil mengikut hukum Allah." 
Susulan itu, Mufti Tan Sri Harussani Zakaria membaca doa selamat. 
Sultan Dr Nazrin Shah kemudian meletakkan tangan kanan baginda atas keranda jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah sebagai syarat supaya keranda diangkat dan diusung keluar untuk istiadat pemakaman.  
Serentak itu, bedilan meriam sebanyak 86 das mengikut umur Almarhum dilepaskan oleh pasukan Bateri Rejimen Artileri Diraja.  
Bedilan itu bermula dari Sultan Perak meletakkan tangan sehingga jenazah diusung ke Makam Diraja bersebelahan Masjid Ubudiah.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

Baginda Raja Dr Nazrin telah dipilih menerusi musyawarah, permuafakatan dan persetujuan Dewan Negara Perak, mengikut Undang-Undang Tubuh negeri Perak, dengan baginda membawa gelaran. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Jenazah Almarhum Tuanku Azlan Shah dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar, bersebelahan makam anakanda baginda, Allahyarham Raja Ashman Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Raja Kechil Sulong) yang mangkat pada 30 Mac 2012.

sumber

hatta

patik selaku rakyat jati Perak menjunjung kasih merafak setia atas permasyhuran Tuanku Nazrin Shah sebagai Sultan Perak yang baharu menggantikan ayahanda Tuanku yang amat dikasihi. semoga Perak terus makmur, damai dan maju di bawah pemerintahan dan naungan Tuanku. Daulat Tuanku.

buat almarhum Tuanku Azlan Shah, patik merafak sembah takziah kepada kaum kerabat diraja serta kesultanan Perak dan berdukacita atas kemangkatan sultan yang cukup dekat di hati kami rakyat jelata. semoga ruh baginda dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan solihin. 

Al-Fatihah..


No comments: