SOCIALIZATION

Friday, January 17, 2014

Menanti Mentari - Rintik


sumber


Perlahan-lahan kopi pekat tanpa gula itu dikacau. Sudu besi. Cawan porcelain. Kombinasi yang membangkit kenangan zaman kanak-kanak, zaman persekolahan. Sewaktu kecil, si ayah sering membawa Salmah ke warung buluh atap rumbia di pinggir anak sungai itu. Manja. Suka benar Salmah mengikut ke mana sahaja pergi sang ayah kesayangan. Duduk di pelantar belakang basikal usang, ditaut erat tubuh tua yang kian membongkok itu sepertimana yang sering dipesan. Sesekali Salmah menjenguk di celahan ketiak ayahnya yang sedang mengayuh tenang - demi melihat seraut wajah; wajah yang pengasih, wajah yang penyayang.

"Jauh menung." Satu suara garau menyapa dari belakang. Seraya Salmah menoleh.
"Oh. Pak Tam. Ha... tengah tengok hujan ni. Bila la nak berhenti." Lembut, sopan Salmah membalas. Pak Tam tersenyum, lantas mendekati anak dara sunti yang sudah lama tidak nampak kelibat di kampung. Anak dara arwah rakan karibnya. Kerusi plastik di hadapan Salmah ditarik. Pak Tam lantas melabuhkan punggung, merehatkan pinggang yang kian berusia.

Pak Tam merenung ke langit mendung. Langit menangis sedari beberapa ketika lalu belum menunjukkan tanda-tanda ingin reda dari kesedihan. Sayu mungkin, sesayu imbauan silam bersama arwahnya bapa si Salmah.

"Bila balik dari Amerika?"
"Baru je, Pak Tam. Minggu sudah. Pak Tam sihat?"
"Sihat. Sihat orang tua."

Angguk Salmah mendengar. Mata mereka bertamu. Dari sirna pancaindera tua itu tersaksi kenangan dan harapan. Tahu, Salmah faham benar istilah 'sihat orang tua.' Sakitnya ada, cuma endah tak endah. Dilayan sakit manakan dapat mencangkul tanah menebas bukit. Direnung anak mata Pak Tam dalam-dalam; ada rindu yang terpendam.

Kopi pahit pekat yang dihidang kian dingin dek malarnya cuaca pagi. Salmah menghirup sedikit. Pahit. Namun itulah yang digemari. Sedari tinggal di negara luar, lidah dan tekak sudah sebati meminggirkan manisan dalam minuman. Teh hijau memang pujaan; sayang warung Pak Tam bukanlah restoran makanan Jepun yang sering dia kunjungi semasa menjadi pelajar pengajian matematik tulen di Boston dahulu. Tidak mengapa, kopi juga kegemarannya. Juga kegemaran si dia.


Sunyi. Hanya rintik hujan yang terjun ke bilah bumbung daun rumbia meletus irama.


Poket baju kemeja diseluk. Pak Tam mencari-cari sesuatu. Pemetik api. Jumpa. Di atas meja kayu beralas tikar getah itu senantiasa tersedia dompet kecil berzip. Dalamnya terisi secekak rokok daun, paket tembakau, cengkih. Salmah hanya memerhati gelagat Pak Tam yang bersahaja; meraut daun kering, menggulung tembakau - tak ubah seperti dahulu; sepertimana yang sering dilihat sewaktu kecil sewaktu dia dan ayah duduk makan dan minum sambil bertemankan rakan-rakan ayahnya serta gelak ketawa dan jenaka yang tidak difahami sehingga kini.

Dalam minda Salmah tersemat seribu kenangan. Bingkisan rindu yang membelai kian menggetar jiwanya. Nun jauh terperosok di sudut hati ada lantunan memori yang mengalun lagu indah. Satu per satu imbauan lama melintasi kotak fikiran dan ruang mata. Ingin sahaja dia menjerit meraung merintih, menerpa kelibat ayahnya yang sekejap-sekejap muncul di kelam ingatan. Seperti mahu dia kembali ke waktu itu, waktu si ayah duduk menyuap cubit kuih ke mulut anak kesayangannya sambil tersenyum. Hendak Salmah pulang ke tatkala itu, di mana ayahnya menghirup secangkir kopi pekat tanpa gula, ditemani Rahmat, yang pertama dan terakhir kalinya, bersua wajah berbicara tentang perancangan mereka. Perancangan Rahmat dan Salmah.

"Pak Tam! Teh tarik satu!" Laungan lantang seorang pemuda dari seberang jalan menerobos ke
telinga Salmah. Tersentak, lantas dia menoleh ke arah datangnya suara itu. Oh, Aziz! Aziz anak Haji Osman, cucunya Lebai Wazir. Aziz rakan sepermainan rakan sepersekolahan. Sahabat susah senang Salmah. Dek kesima yang terputik serta-merta terbit satu senyum indah menguntum melirik di bibir Salmah yang nipis bak kelopak mawar merah jambu. Keningnya yang terletak elok beranjak sedikit ke atas dek buntang mata Salmah melihat wajah ceria Aziz yang tak ubah sepertimana sebelum dia pergi meninggalkan kampung halaman untuk ke Amerika beberapa tahun yang dulu. Telinga Aziz masih capang. Itulah modal Salmah membalas gelaran 'Salmah Senget' yang Aziz anugerahkan kepadanya. Si capang dilihat menapak menuju ke warung Pak Tam. Salmah bingkas menyapu air yang tertahan di kelopak mata daripada tertumpah mengalir meniti denai pinggir hidung menuruni pipinya yang gebu sepertimana selalu, seperti bilamana dia terkenangkan kisah-kisah pilu nan lalu.

"Tu. Kawan lama kau tu. Bukan main seronok dia bila dapat tau kau balik kampung." Pak Tam mengusik.
"Lama tak nampak dia, Pak Tam. Masih macam dulu jugak."
"Hmm.. Kau borak la dengan dia nanti. Jangan sampai tak boleh berhenti sudah. Hujan pun reti berhenti." Tertawa kecil Salmah mendengar omelan Pak Tam. Ya, tanpa sedar hujan lebat tadi kini renyai. 

Derap langkah Aziz kian kedengaran. Susuk tubuh yang kurus tinggi itu perlahan-lahan tampil jelas pada pandangan Salmah. Dengan berkemeja biru lusuh dan singlet Pagoda koyak serta seluar pendek paras lutut, Aziz menuntun basikal tuanya yang pancit tayar hadapan menyeberangi jalan tar berlopak-lopak menuju warung beratap rumbia di tepi sungai itu. Dua baris gigi Aziz yang tersusun rapi dapat Salmah amati biarpun dari jauh. Lucu pula bila digandingkan sengih yang tak putus-putus itu dan telinga yang capang. Salmah terhibur.

"Aziz! kau dari mana, hujan-hujan ni?" 

"Aku dari rumah kau! Mak kau cakap kau keluar. Aku cari la!" Penuh semangat Aziz menjawab. Jelas keterujaannya.

"Mengadalah kau, Jis. Sini, duduk. Teman aku minum."

"Boleh ke? Nanti ada orang marah nanti."

"Siapa nak marah?"

"Tunang kau."

Tegak segenap roma halus di tangan Salmah. Hatinya bagai dipalu tatkala perkataan 'tunang' itu menyisip masuk ke pendengaran. Terbayang wajah cekung Rahmat, senyum tawanya, raut seriusnya. Hampir sahaja kelopak mata yang sudah kering bertakung semula. Tahan. Aziz tidak tahu menahu perihal Rahmat. Rahmat yang telah pergi.

Sesudah menyandar basikal di tiang buluh warung usang, Aziz melangkah perlahan mendekati Pak Tam yang tidak berganjak sedari mula. Sambil jejari runcing tangan kanannya menyisir rambut yang kebasahan dek hujan, Aziz menarik kerusi plastik untuk duduk. Hanya dipisahkan sedepa meja kayu, Aziz duduk di sebelah Pak Tam, mengadap Salmah. Kini mata mereka bertentang.

Salmah mengukir satu senyuman. Manis. Hujan kembali rintik. Hujan.. dalam hati.


3 comments:

Anisa Hang Tuah said...

nangis baca ni.

Part nampak perkataan tunang.

TUNANG

anonymous said...

ade sambungan ye?

Ally Leman said...

heyyy azhan kanipan. ang x mau ka buat entry pasai phone conversation merangkap tazkirah maghrib ang ngan aku awal tahun aritu. bab kahwin dan rezeki.