Tabir putih berenda bunga Inggeris separa telus itu berkibar dihembus bayu senja. Jendela dibiar terbuka, menjemput kicauan burung dan bunyi deruan kenderaan nun sayup berbelas tingkat di bawah sana menusuk masuk ke ruang pendengaran. Awan sirus merayap lembut di dada langit. Indah, dengan mega suria berbalam-balam di balik lembaran gebu kepulan kapas berupa-rupa dilarik pawana.
Perlahan, Salmah menarik keluar cucuk sanggul di kepalanya. Satu. Dua. Chopstick ukiran seni Jepun yang dibeli sewaktu bersiar-siar di Quincy Market tempoh hari itu diletak di atas pahanya. Salmah menggeleng-geleng kepala, menguraikan rambut yang disanggul, lepas melitupi belakang leher. Disisir lembut dengan jemarinya yang runcing, menyisip rambut ke sebelah hadapan badan, melewati bahu kanan. Diusap, dibelai, rambutnya dimain - sambil kedua mata Salmah tidak berkedip, memandang tepat ke luar balkoni apartment. Sesekali dia membetulkan kemeja labuh bercorak kartun yang dipakai, tatkala tersedar dari awangan jiwa dek pekikan hon kenderaan di jalan.
Cucuk sanggul dialih dari riba, diletak di atas meja kopi di hadapannya. Salmah bersimpuh di atas sofa yang baru dibeli secara atas talian dari seorang warga tua yang ingin berpindah untuk tinggal bersama menantunya di Iowa selepas kepergian anaknya menyertai West Point. Empuk. Perlahan-lahan dia melabuhkan kiri badan menyandar arm rest sofa kulit buatan China itu. Bantal kecil segiempat sama dilapik di bawah rusuk kiri, mengampu beban badannya yang kepenatan seharian berdiri berjalan ke sana sini atas tuntutan kerja. Tinjau matanya longlai menatap punca mambang jingga nan kelam yang berselindung jauh di ufuk barat. Desir bayu sesekali menerpa menerusi jendela yang dibuka luas, menyapa wajah Salmah yang manis, semanis teh karamel kesukaannya. Kesukaan mereka.
Salmah menghela nafas panjang. Dalam. Seraya dihembus, lantas kakinya dilunjur memenuhi segenap ruang duduk sofa 2nd hand itu. Belakang badannya disandar pada arm rest yang kini ditimbuni bantal-bantal kecil, memberi sudut pandangan baharu buat Salmah - terarah tumpuan pada sekeping foto berbingkai kayu cider bersaiz separuh A4 yang didirikan di kotak ketiga rak bukunya - tepat separas mata Salmah yang kini mula terbit getusan air di kelopak. Kian direnung foto tersebut, kian kabur pandangan Salmah. Bibirnya bergetar.
****
Senja kian berlabuh. Matahari makin menjauh. Sepertinya langit Boston bakal dihiasi berbilion taburan bintang yang jarang-jarang dapat dilihat dek pencemaran cahaya saban malam. Burung-burung musim bunga tadinya ligat berkejaran membelah angin dan celahan dahan kini mula menghilang. Siang bakal melabuhkan tirai. Deruman enjin kenderaan manusia-manusia yang pulang dari kerja juga semakin susut. Tabir separa telus turut melonglai, merindu bayu yang kini pantas meluput.
Salmah megangkat sedikit pinggulnya, menarik turun kaki kemeja cotton labuh yang dipakai melitupi separuh paha. Dibiar kakinya yang panjang tidak berkain berseluar menikmati deru angin yang ditiup kipas meja di hujung sana sofa. Dikiam kedua tangannya di bawah dada, memeluk foto kesayangannya. Foto Salmah bersama kedua orang tuanya, bersama-sama arwah Rahmat. Sedetik matanya terpejam, lantas air yang terempang di kelopak mata menderas menuruni pipi Salmah yang gebu putih kemerahan, menitip tulang rahang merangkak mencari dagu, terus menitis ke pangkal leher.
Ingin sekali dia menahan rasa menepis tangis... namun kudratnya tiada. Nafas panjang dihela beberapa kali. Dipupuk kembali semangat yang berkecamuk dipukul memori. Salmah tahu, semakin dia mengenang cerita dahulu, semakin berkocak jiwanya dipalu. Sudah. Sudah Salmah, sudah. Pesan ibu; jangan dilayan rasa itu, kelak akalmu tidak menentu. Lantaran, foto tadi ditelangkupkan di atas meja kopi, bersebelahan segelas air suam yang tiada berusik isinya. Cukup. Isya'.
****
"Hello?"
"Hei. Oh. Assalamualaikum."
"Kena- Waalaikumussalam. Kenapa dengan suara awak ni?" Salmah menzahirkan kebimbangan. Takut, kalau-kalau kesayangannya itu tidak sihat.
"Saya okay. Cuma selesema sikit." Suara di hujung talian membalas dengan nada suku ceria. Salmah hanya mampu tersenyum sambil menggelengkan kepala.
"Dah tu, nak keluar jugak ke? Awak tu kan tak sihat. Awak kena rehat. Aw-"
"Chupp! Saya tak tau pulak awak majoring in syarahan umum dekat universiti Boston ni?" Berderai ketawa Salmah mendengarnya. "Jangan la membebel memalam buta ni, makcik. Jom, ngeteh?"
"Tak nak!" Balas Salmah. Laju.
"Ngopi?"
"Tak mau!"
"Ngenasik?"
"Awak memang nak saya gemuk kan, makan nasi malam-malam, lepas tu awak guna alasan tu untuk cari lain kan? kan?"
"Awak gemuk pun tak apa sebab nanti dah kahwin dengan saya awak akan merana sampai kurus balik hahaha. Nak tak merana dengan saya?"
Terukir senyuman di wajah Salmah, menguntum membunga mekar kasih di jiwa. "Nak! Saya nak merana dengan awak! Saya turun sekarang!!"
3 comments:
Mesti Salmah nie cantikkan?
Tak sabar nak baca sambungannya..
renungan bertukar rasa..cuba awk baca novel tu.
entah kenapa bce entry pasal Menanti Mentari kali ni buat sy teringat novel Renungan Bertukar Rasa....
romantik lah!
kalau lah ada lelaki seumpama itu yg lakukan pada nyai
:(
Post a Comment