SOCIALIZATION

Saturday, June 24, 2017

Talkin Soalan Lazim Bila Nak Kawen [Raya Special]




-Talkin Soalan Lazim Bila Nak Kawen-


wahai kamu bin/ti ibu kamu, hendaklah kamu ingat dan bersedia. akan tiba padamu hari raya, di mana kamu akan menjadi kaunter pertanyaan..


wahai kamu bin/ti ibu kamu.. apabila datang kepadamu para sahabat, sepupu sepapat, pakcik makcik jauh dan dekat... maka janganlah kamu berdukacita, gusar dan gementar. tatkala mereka menghampirimu, pandanglah mereka dengan tenang dan sabar. tatkala mereka menyoal kamu bertalu-talu:

siapakah pacarmu?

di manakah pasanganmu?

orang manakah si dia?

apakah kerjayanya?

berapakah umurnya?

sudahkah bertemu keluarganya?

dan bilakah kamu akan bersatu dengannya?



maka tenanglah kamu menghadapi mereka. janganlah dipalingkan muka mahupun meninggi suara. jawablah dengan sabar dan penuh hikmah;

siapa pun dia, itu ketentuanNya

dia berada dalam rahmat Yang Esa

orang berasal dari Adam dan Hawa

kerjanya mentaati iman dan agama

usianya menghitung hari seperti kita

bertemu keluarga pabila tiba masanya

dan jika bersatu itu ialah perkahwinan.. maka sesungguhnya jodoh maut itu rahsia Yang Maha Kuasa.



wahai kamu bin ibu kamu. tetapkanlah hatimu. ketahuilah yakni kamu sedang dalam ujian yang besar dan benar. bahawasanya hari raya itu benar, ziarah sanak saudara itu benar, dihimpunkan dan disoal serta dipersoalkan itu benar, dihitung gaji kamu dan usia kamu itu benar, dibandingbezakan dengan orang lain itu benar, dan dikenen-kenen itu benar.


lantaran itu janganlah kamu berpaling dan berlaku mungkar. senyumlah, bertabahlah. sendirian kamu menjawab pelbagai soalan. yakinlah, dan berimanlah. nescaya kelak mereka kan faham ataupun bosan.


ketahuilah, dan ingatlah. sesungguhnya mati itu pasti. jodoh itu pasti. takde jodoh pun pasti. dan haruslah kamu steady membela diri di aidilfitri.


#TalkinSoalanLazimBilaNakKawen


-pesanan khidmat masyarakat

28 Ramadhan 1438H