SOCIALIZATION

Friday, September 28, 2012

Menanti Mentari - Kiriman


Di luar sana angin malam membelai sayu. Sejuk. Hujan musim luruh di bumi Boston memang menjemput sesiapa sahaja untuk berselingkuh dalam balutan gebar tebal di katil. 




Jam 11.47 tengah malam.

Salmah masih mendepani komputer ribanya. Sedari jam 10 tadi lagi dia tidak henti-henti menaip. Jemari halusnya meniti papan kekunci komputer lamanya itu, bingkas tangkas umpama pemain piano terkemuka dunia.

Kadang kala dia termanggu. Seketika. Ada masanya jari-jari Salmah yang runcing sekadar berlegar sedikit sentimeter tinggi daripada butang plastik huruf-huruf yang berselerak. Dia kelu. Dia kehabisan kata yang mahu ditulis. Sekejap-sekejap dia memejamkan mata. Letih, mungkin. Sedih, mungkin.

awak...Kenapa awak dah tak macam dulu?
dulubila saya serabut... awak ceriakan saya.bila saya sedih... awak buat saya ketawa..bila saya marah... awak akan buat saya tenang, dan tersenyum semula. 

dulubila saya cakap sikit-sikit... awak yang akan buat saya jadi banyak berceritabila saya banyak membebel ... awak dengar dengan sabarbila saya diam tak cakap apa-apa... awak akan tanya macam-macam, sampai saya bersuara jugak.
dulusaya selalu gelakkan awak.. tapi awak gelakkan diri awak sendirisaya selalu marah awak... tapi awak setia mendengar, tabahkan hatisaya selalu merajuk dengan awak ... tapi awak tetap teman saya kat sini.. 

tapi.. kenapa sekarang..
kenapa sekarang awak dah tak macam dulu?kenapa awak tak gelak macam dulu?kenapa awak tak membebel macam dulu?kenapa awak tak tegur saya bila saya buat silap ... macam dulu?
mana pergi senyuman awak?mana pergi sindiran awak...mana pujuk awaktenang awaktangis awak


mana awak - bila saya perlukan awak!?

Salmah terkedu dengan ungkapan sendiri. Berfikir dia sejenak. Jemari halusnya kini mati di atas papan kekunci. Nafas panjang dihela. Mindanya kepenatan. Hatinya kelesuan. Jiwanya kekosongan. Hanya sepasang mata yang masih bersengkang, dan sepuluh jemari yang tadinya giat menari irama hati - kini tersadai menanti kekuatan.


Matanya kabur. Semakin kabur. Ah, bergenang air di kelopak mata dek tersentak dengan kenangan yang terimbau. Alirnya ditahan Salmah. Terketar-ketar tubuhnya menahan rasa yang membuak dalam dada. Bibirnya diketap rapat, serapat pintu hatinya menahan duka daripada menerjah masuk menerpa meniupkan bait kecewa dan syahdu.

Perlahan, dipejamnya mata. Habis. Air mata yang diempang, kini menuruni pipi Salmah yang putih gebu. Dari mata ia mengalir, deras menderu ke dagu - lantas setitis demi setitis tertumpah ke belakang tangannya, ke atas dan celahan huruf yang berselerak di papan kekunci.

Salmah menggagahi diri, membuka mata yang tadinya dipejam erat - seerat ingatannya terhadap insan yang berjaya mencuri ruang dan peluang untuk melerai benteng angkuh dan egonya suatu masa dulu. Direnung semula paparan skrin komputer ribanya.


Dia menggapai tetikus. Satu klik di tengah-tengah emel yang sedang - dan belum habis ditulis. Jemarinya mencari tiga kunci. Ctrl ditekan serentak dengan A. Kemudian, Del.


Assalamualaikum. Awak, how are you? I hope you're doing fine. Take care ye awak! 

Goodnight. *smiley.jpg*


Al-Fatihah. 


Send.


1.36 pagi.
Hujan. Dalam hati. Di pipi.

No comments: