SOCIALIZATION

Tuesday, November 6, 2012

Menanti Mentari - Jauh


"Manalah datang manusia-manusia ni semua." Hatinya menggetus. Dua matanya yang redup beralis tipis liar memerhati sekitar. Kiri. Kanan. Nun di hadapan sana. Nun di pelusuk belakang.




Dalam keriuhan, sayup-sayup terdengar suara kanak-kanak menjerit riang, berkejaran naik turun tangga. Tak kurang juga pekikan manusia-manusia fanatik yang dengan gahnya menconteng wajah masing-masing dengan pelbagai warna dan corak - sebagai lambang kesetiaan mereka. Di bawah sana kelihatan "water boy" sedang mengusung sebakul makanan ringan dan air berkarbonat, mencelahi tempat duduk tanpa segan silu. Pakaian mereka sahaja sudah jelas menarik perhatian - dengan warna terang dan perkataan yang membawa mesej lucu; mereka menjerit di setiap baris kerusi yang berisi, menjual makanan yang dibawa. Perlu. Keberanian itu yang mereka perlu. Jika tidak, maka bererti tiadalah rezeki.

Di tengah padang pasukan Red Sox sudah berada di posisi mereka. Batter box, on deck - semuanya mengikut perancangan dan strategi yang telah dicatur. Segak dalam uniform putih, Red Sox hanya inginkan satu ehwal daripada perlawanan malam ini - kemenangan.

Salmah melihat muka jam. Ah, permainan bermula agak lambat daripada yang dijadualkan. Apakah kekangan? Baru sahaja terpacul persoalan itu di minda, serentak hatinya berhenti mempeduli. Lagaknya ada yang kisah. Nah. Sabar itu indah. Salmah tersenyum. Manis.

"Awak okay?" Satu suara menerjah gegendang telinga Salmah. Dalam hiruk pikuk itu, ayat tersebut jelas menggamit perhatian.

"Eh? Kenapa awak tanya?" Salmah menoleh ke arah pemilik suara tersebut. Terpaksa sedikit dia menyengetkan tubuhnya untuk berpaling ke belakang. Ibunya pernah berpesan, kalau bercakap dengan orang, pandang matanya. Itu adab.

"Aa... baguslah. Tak, saya bimbang awak tak okay. I mean, you don't feel good at this game.. dalam crowd macam ni." 

Salmah tertawa kecil. 

"Kalau saya cakap saya tak okay?" Menduga.
"Kita balik"
"Kalau saya tak okay tapi saya nak stay?"

Bagaikan malaikat lalu; terdiam seketika mereka dek ujaran yang berbaur menguji itu. Ya, malaikat cuma lalu betul-betul di tempat mereka - kerana hanya mereka yang terdiam tatkala seluruh stadium menjerit melonjak kegembiraan melihat Cody Ross menghantar bola selaju 93 batu sejam itu terbang menerjah langit malam yang dilimpahi cahaya lampu sorot lantas sampai ke ruang duduk penonton. Home run! Seraya itu bergempita suara penyokong Boston Red Sox mengiringi pemain kesayangan mereka yang berlari anak dari batter box menuju ke setiap base lantas kembali ke home - memberikan mereka 1 mata sulung mendahului lawan.

Syakir tak tentu arah. Putus kata-katanya di situ. To stay is okay, but to be not okay is not; bentak jiwanya. Ah. Buntu! Apa harus dibalas? 

Dilihatnya Salmah masih tepat memandang. Syakir membalas dengan menitip terus ke anak mata gadis berkulit cerah putih kuning langsat itu. Ada sinar sinis yang sirna. Hendak sahaja dia mempercayai, namun gurunya pernah mengingatkan; mata wanita bukanlah cermin hatinya. Barangkali Salmah bergurau. Barangkali tidak. Mana satu yang benar? Syakir berteka teki.

"Awak, home run! Kita dapat point!" Cubaan untuk menukar tajuk perbualan.
"Saya tahu. Tapi awak belum jawab soalan saya."

Syakir sudah pun menjangka perkataan-perkataan tersebut. Awal-awal lagi dia sudah menyusun setiap bait di dalam benak. Cuma masa penentu kebenaran. Dia tersenyum.

"Let me tell you something. Setiap kali lepas musim bunga, ada musim panas. Kemudian musim luruh, musim sejuk, then kembali ke musim panas. Tapi awak tahu ke, musim mana yang mula dahulu?"

Ada sedikit kerutan di dahi Salmah. Matanya dikecilkan. Pandangannya ditajamkan namun masih berkiblatkan wajah rakan kuliahnya itu. Dia membetul-betulkan tudungnya sambil terus berdiam diri, memberi peluang untuk Syakir meneruskan kata-katanya.

"Singular plural. Kita cakap 'feelings is' ke, 'feelings are'? Salah satunya salah, atau keduanya betul? Awak tahu English Studies? Why do we call it English Studies? English language? Apa, orang Amerika tak bercakap bahasa Inggeris? They speak American, no?"

Syakir tampak yakin dengan hujah yang bertalu-talu itu. Penonton sudah kembali tenang, duduk di tempat masing-masing. Namun dua insan di negeri orang ini masih berkira-kira dengan mainan bahasa dan cakna minda, sehinggakan pasangan kekasih di sebelah kiri Salmah itu mula memerhatikan gelagat 'orang asing' ini dengan penuh minat. Mungkin memuji, mungkin mengeji. Namun Syakir dan Salmah tidak mengendahkan semua itu. Bagi mereka, penggunaan bahasa ibunda di tempat orang membuatkan mereka rasa dekat dengan tanah air.

"Dan awak tahu kenapa saya belikan kita tiga tiket? Dua tiket untuk awak, satu tiket untuk saya, dan seating kita berbeza baris." Giliran Syakir mengumpil. Menguji. Dalam padanya berfikir, Salmah hampir tidak dapat menangkap apa yang cuba disampaikan. Dia menghela nafas panjang.

"Jadi? Apa yang awak cuba sampaikan kat sini?"

"Ada perkara yang kita tahu, ada perkara yang kita tak tahu. Ada soalan yang perlu dijawab, ada soalan yang boleh dijawab... dan ada soalan yang tak mampu dijawab. Awak faham?" Muka Syakir merah. Tetapi penuh keyakinan. Tetapi merah.

Salmah menekup mulutnya dengan tangan kanan - menahan ketawa. Dipandangnya wajah Syakir sekali lagi; tepat ke dalam mata. Jelas, dia kabur, putus logika. Salmah hanya mampu tersenyum.

"Saya tak faham..mungkin. Why not awak cuba jelaskan lagi, em?" 

Satu lagi pukulan deras melayangkan bola lisut itu laju melintasi kesemua pemain yang berada di atas padang. Bagaikan ada sepasang sayap yang menerbangkan bola itu tinggi, tinggi melewati capaian mana-mana pemain sekalipun. Jauh.

Home run.

No comments: