assalamualaikum. salam sejahtera. salam perpaduan. salam takziah buat keluarga perwira-perwira agama, bangsa dan negara yang telah kehilangan insan tersayang dalam juang bakti mereka bergolok gadai bermurah nyawa demi mempertahankan Malaysia tercinta. semoga pengorbanan mereka terus menjadi jamung semangat pahlawan-pahlawan kita dalam melaksanakan tugas semapannya.
ambillah sedikit masa, dan sedekahkanlah ummul kitab buat mereka yang telah dipanggil kembali bertemuNya. Al-Fatihah..
baeklah. mohon izin saya teruskan bingkisan. sabtu lalu (2 Mac 2013) saya telah menghadiri satu forum yang dianjurkan oleh pihak/team Teach for the Needs (selepas ini akan disebut sebagai TFTN). forum ni diadakan sebagai bersempena menyambut ulangtahun pertama TFTN sendiri, di samping pelancaran Kempen Membaca TFTN 2013. forum yang julung kalinya diadakan ini mempersembahkan panelis2 hebat dalam mencakna minda - Dr Maszlee Malik, Hishamuddin Rais dan Zul Fikri Zamir, serta Anas Alam Faizli sebagai moderator.
bertempat di Kompleks Karangkraf, Shah Alam, forum yang giat dicanang dan disebarluas perihalnya melalui media2 sosial telah berjaya menarik lebih 400 pendengar dan pemerhati yang prihatin dengan isu yang diketengahkan. alhamdulillah. satu penanda aras yang baik kiranya.
jadi
di sini saya ingin berkongsi serbi sedikit sekelumit cubit apa yang saya perolehi sepanjang mendengar dan memerhati selama dua jam 47 minit dari kerusi paling kiri barisan kelima ruang duduk tengah. isi dapatan saya ringkaskan dalam bahasa saya dan kefahaman saya sendiri. sekiranya pembaca tidak dapat menaakul perpuluhan ilmu yang saya kongsikan di sini, besarlah hati saya untuk menjawab sebarang pertanyaan kalian, insyaAllah.
saya mulakan.
Forum "Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang"
- sistem pendidikan sekarang terlalu menekankan sistem penilaian; hilang 'ruh' pendidikan.
- label masyarakat terhadap orang berilmu dan berpencapaian. sekiranya tidak bersekolah, tidak masuk universiti, maka hamba Allah itu dilabel tidak berilmu.
- "keilmuan itu bukan pembelajaran yang distrukturkan" - Hisham Rais.
setiap daripada kita layak dan berhak untuk belajar dan mempelajari apa sahaja yang dikehendaki, bukan dipaksi disusun dan distruktur di sekolah kini.
- "pembelajaran itu adalah untuk melahirkan manusiawi daripada, dan dalam diri manusia itu sendiri" - Hisham Rais.
- kita telah terbudayakan masyarakat kita dengan falsafah "Bangangisme"
- jangan jauh memandang ke barat sedang timur terlebih dahulu membicarakan soal tamadun dan ketamadunan. dalam erti kata lain, tahu yang betul, laksana yang benar.
- "belajar dari alam ialah sistem persekolahan yang pertama di dunia" - Dr. Maszlee
membicarakan bagaimana manusia belajar daripada tingkahlaku haiwan dan kejadian, seperti eksperimen Pavlov dan Skinner dalam teori behavioursime, dan kisah Habil dan Qabil yang diceritakan dalam al-Quran.
- sekolah perlu lebih menarik. bandingkan keterujaan kanak-kanak yang bersekolah di zaman dahulu dengan anak-anak generasi kini. di mana kurangnya daya penarik sekolah?
- tugas guru kini telah melangkaui amanah hakiki mereka; yakni mengajar dan mendidik. keguruan dan pendidikan sekarang telah diolah menjadi satu 'perniagaan' - guru mesti melayan murid/pelajar sebagai 'client', bukan anak.
- masyarakat tegar menyalahkan guru dalam kegagalan meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak mereka. namun tak ramai masyarakat yang tegar untuk mencari kebenaran di sebalik tuduhan yang mereka lemparkan.
- kita (guru) perlu lebih kreatif dalam mendidik. tapi bagaimana ingin berkreasi jika kreativiti disekat oleh empat kalimat keramat yang menaungi para penjawat awam - Saya Yang Menurut Perintah . (?)
- "ilmuan islami tidak mendoktrin, tetapi menstimuli pemikiran" - Dr. Maszlee
ini ditegaskan dalam membandingtara sistem persekolahan dan pendidikan barat dengan apa yang dibawakan oleh Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas Baginda) serta institusi ilmuan islam.
- sekolah perlu lebih bersifat autonomous, yakni berkuasa mutlak dalam menentukan apa yang perlu dan patut diajar. fenomena ini telah diwujudkan (sekolah berprestasi tinggi, sekolah kluster, dsb) namun autonomous di sini lebih merujuk kepada sistem yang dilaksanakan di Jerman, Korea, dan beberapa negara berkependidikan tinggi yang lain.
- mampukah pendidikan bebas daripada pengaruh (apatah lagi cengkaman) politik?
- muzik merupakan intipati ilmu dan pendidikan yang mahal dan intelektual. terdapat 12 bab yang membicarakan tentang muzik - dalam kitab/buku perubatan lampau - oleh ilmuan islam. (rujuk Al Kindi)
- TNB - TNC . Tenaga Nasional Berhad - Timbalan Naib Canselor. dekat, tapi jauh.
- anak-anak generasi kini telah dituakan sebelum masanya.
- kenapa kejar masa dalam menimba ilmu?
ramai pelajar universiti sekarang tidak menikmati/menghargai tempoh 5 - 6 tahun hidup di kampus. rata-rata mahu menghabiskan tempoh pengajian dengan lebih cepat. jadi, di mana kemanisan mencari ilmu dengan dengan tenang, tawadu' dan istiqamah?
- pendemokrasian pendidikan.
apa yang didemokrasikan bila semuanya dilihat pada statistik dan data? di mana kebebasan memperoleh ilmu dan hidup sebagai manusia yang berbeza dan berkepelbagaian? pendidikan perlukan ketulusan.
- pembelajaran mungkin diniagakan. tetapi tidak pendidikan.
- “Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” [Hadith Muslim] | lantas apa yang dimaksudkan dengan ganjil itu?
maka Rasulullah (selawat dan salam ke atas Baginda) menjawab; "orang-orang yang melakukan kebaikan ketika manusia telah rosak (dan merosakkan)" [Hadis Muslim]
justeru, jangan takut untuk menjadi orang yang ganjil daripada kebiasaan - untuk merubah sesuatu menjadi baik, atau menjadikan perkara baik itu kepada yang lebih baik.
- universiti berasal daripada perkataan 'universal' . namun ia telah hilang sifat universaliti itu.
- masyarakat kita dibenihkan dengan mutual prejudice dan mutual misconception.
- "Bebalisme" dan watak kepandiran berleluasa. ianya barah.
- bangunkan volunteerisme dan kesukarelaan dalam diri. yang menolong, pasti ditolong.
*****
itulah sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan daripada apa yang diperbincangkan dalam forum yang saya kira cukup kritis, berilmiah dan berhikmah. molek kiranya andai apa yang saya kongsikan di sini dapat kita sama2 fikirkan demi kemasylahatan kita bersama. apa yang baik itu hadirnya dari Tuhan, dan yang buruk adalah khilaf kita yang hina.
kalian boleh menonton rakaman penuh forum TFTN ini di;
Bahagian 1 - http://mobtv.my/talkshow-2909.html
Bahagian 2 - http://mobtv.my/talkshow-2910.html
bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Teach for the Needs (TFTN), kalian boleh menjengah pautan2 dan media sosial berikut;
saya kongsikan juga di sini, quote yang menarik oleh panelis, Hishamuddin Rais.
"the most difficult thing in the world is to be yourself"
"kalau tak tahu Al-Farabi itu adalah 'the second Aristotle', sila bakar universiti anda. kecuali UIA"
"Be a Marco Polo, not Robinson Crusoe"
sebarkan kebaikan. sekian. wallahualam.
3 comments:
sebeelah tu toyotaz.. tmpt site selama 2 minggu.. huuu
tak kabor~~ hahaha
haha.. tu ler pasal... cis dp macam dak perempuan ha..hampeh
Post a Comment