Mawar menyapa lembut adiknya yang sedang enak diulit mimpi nan indah. Hari masih awal. Seawal ayam jantan berkokok di dahan mempelam di belakang rumah mereka.
"Em?" sahut Melati, perlahan. Matanya dibuka separuh, melihat patung beruang kesayangannya di sisi hujung bantal. Terkebil-kebil seketika, tatkala dia sedar bahawa kakaknya sedang duduk bersimpuh di belakangnya. Dalam kemalasan sejuk angin yang menyapa dari kipas dinding, Melati cuba untuk melawan kehendaknya yang mahukan gebar tebal meliputi tubuhnya yang kecil daripada terkena deru dingin yang amat menyelesakan. Ah, enaknya jika dapat bersuam kuku di dalam gebar tebal bercorak Mashimaro yang comel ni, cetus hatinya.
"Bangun la. Dah Subuh ni. Tak elok lambat-lambatkan solat. Report dekat mama nanti, ha." tegas Mawar. Dia tahu benar perangai Melati. Budaknya rajin, suka menolong ibu di dapur. Suka mengemas rumah. Suka memasak - walaupun tidak menjadi seperti masakan yang normal dan dikenali. Pernah, Melati cuba memasak sendiri untuk hidangan sekeluarga makan tengahari. Hendak ditolong, ditegahnya pula. Sudahnya, satu keluarga makan di luar dek masakan Melati yang hangus dan tidak cukup syarat.
Melati seorang gadis yang ceria, berperawakan manis, sejuk dipandang. Wajahnya periang, matanya buntang, senyumnya mampu meruntun jiwa sesiapa sahaja yang melihatnya. Pergilah ke mana-mana kenduri, pasti ada yang menegur. Pergilah ke mana-mana majlis keramaian, tentu sahaja ada yang berkenan. Namun, di sebalik keayuan adiknya itu, Mawar tahu yang Melati cukup susah untuk dipisahkan dengan tidur - lebih-lebih lagi di musim cuti, musim hujan begini.
Mawar bingkas bangun dari katil. Ditinggalkan Melati yang sedang berkilas-kalih di dalam selimut, sambil muka dipekup ke bantal yang empuk. Mawar tersenyum. Dilangkahi bendul pintu bilik air, lantas diputar paip di dinding. Perlahan air mengalir, lalu ditadahnya dengan kedua belah tangan, terus dikumur-kumurnya beberapa kali. Sambil air ditadah, Mawar berniat. Wudhu'.
******
Hujan sejak semalam. Ayam masih berkokok.
Matanya digosok-gosok lembut. Dikuis air mata yang terbit di alis. Dia sudah biasa menangis di dalam mimpi, tanpa sedar yang sememangnya dia mengalirkan air mata di dunia nyata. Digagahkan jemari halus menekup muka; Melati menyelak rambut yang menutupi wajahnya. Untuk seketika dia terasyik dengan haruman rambutnya sendiri. Bau limau gedang. Kiranya bak petua orang dulu-dulu; andai ingin rambut lembut, cantik dan wangi, maka lumurkanlah dengan perahan limau gedang yang dicampur air basuhan beras. Amalkan sekali seminggu. Kalau itu petua karut, lihat sahajalah hasilnya. Nah, lurus halus dan lembut rambutnya yang lebat dan panjang itu sebagai bukti. Terima kasih bonda atas petua yang diwariskan sejak peninggalan moyang mereka.
Di hujung katil Melati melihat sesusuk tubuh sedang berdiri menghadap dinding. Kumat kamit mulut Mawar melafaz bacaan wajib dan sunat. Dalam telekung cotton yang putih bersih, hadiah pemberian arwah nenek tercinta, Mawar tampak tenang mengabdikan diri kepada Tuhan yang satu. Melati tersenyum nipis. Sejuk hati melihat kakak kesayangannya sedang menunaikan solat subuh.
Melati mengeliat jauh-jauh. Tegang habis segala urat leher, paha dan belikatnya. Ditarik nafas dalam-dalam, ditahannya udara tersebut dalam paru-paru untuk beberapa ketika, lantas dihelanya perlahan. Diteruskannya mengerekot di dalam selimut, sambil mengalih pandangan ke arah jam dinding.
"Ah. Kenapa waktu-waktu macam ni..." bentak hati Melati. Dia bingung. Digeleng-gelengkan kepalanya demi menghindar dua nama dan wajah daripada tampil di kotak memori - setidak-tidaknya pada waktu ini; waktu Melati takut untuk dilukai. Lagi.
Hujan semakin sayup.
*******
Telefon pintarnya dicapai dari bawah bantal. Dalam kekuyuan matanya yang malas mahu dicelik, digagahi juga melihat paparan telefon. Oh, ada tiga pesanan ringkas yang belum dibaca, dan beberapa notifikasi daripada aplikasi twitter, facebook, whatsapp, blackberry messenger dan gtalk. Sungguh, malam tadi Melati masuk tidur lebih awal daripada biasa. Dibacanya satu per satu pesanan ringkas yang ada; namun dia tidak berdaya untuk menarikan jemarinya membalas kesemua pesanan yang tiba.
"Nantilah." bisik hati Melati.
"Astaga budak ni. Adik! Melati Nur Amirah binti Mustafa! Bangun subuh, cepat!" Mawar menjerit di tikar sejadah, sejurus dia terpandang adik perempuannya itu masih lagi berkelubung selimut Mashimaro kegemarannya walau setelah dia selesai berdoa selepas solat.
"Ati ABC la kak"
"ABC? Ati mengigau apa ni? Hei?"
"ABC la, kak Mawar. Allah bagi cuti, ABC. Akak ni, macam tak biasa pulak."
"Oooooohh." Mawar menahan ketawa. "Patut la adik tidur awal semalam."
"Itu lah. Apa lah akak ni, hal adik sendiri pun tak tahu."
Melati memeluk patung beruang kegemarannya. Selimut Mashimaro terus membungkus tubuhnya yang kesejukan. Matanya dipejam rapat. Telefonnya disemat ke dalam poket baju tidurnya. Dalam lena, Melati tersenyum.
1 comment:
salam.
kepada penulis. bahasa awk sgt puitis, smpai boleh buat pembaca membayangkn setiap situasi. teruskn berkarya!
Post a Comment