Saturday, February 11, 2012

Menanti Mentari


Salmah bukanlah gadis yang boleh dibeli kasih dan sayangnya. Kalau diikutkan, sudah tidak cukup jari hendak membilang jumlah jejaka yang hadir dalam ruang peribadi Salmah, cuba untuk memilikinya. Yang datang bukannya calang-calang. Ada anak orang berada, ada yang kacak bitara, ada yang manis syumul bersahaja. Namun dia tidak sewenang-wenangnya layu dek pujuk rayu, usikan dan gesaan orang-orang di sekeliling. Dia ada ketetapan hati sendiri. 


Hujan

Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Sayup. Dalam hujan sederhana lebat yang turun membasahi bumi, dan dalam hujan yang sama lebatnya di dalam hati Salmah, dia tersentak dek deringan yang perlahan. Salmah mengeliat dan melunjur jauh-jauh, matanya melirik rintik hujan yang laju menuruni bumbung parkir kereta di hadapan rumah, menerpa ke lantai simen.

"Astaghfirullahal'azim~" Dikedip-kedipkan mata yang kuyu. Nah, baru tersedar yang anggota penglihatannya tadi menakung garam galian cair. Digosok-gosok matanya, menghapus air yang terbit dek kesedihan hati mengenang perihal jiwa yang... entah. Bangun dari muka pintu, Salmah berjalan longlai ke meja kopi di ruang tamu.

Salmah mencapai telefon bimbit. Satu pesanan ringkas diterima. Dibacanya tenang, sambil perlahan mengukir kuntuman senyum yang manis di wajah. Salmah menghela nafas, matanya tidak lekang dari paparan telefon bimbit, lantas jemari runcingnya bingkas menari di papan kekunci penuh, membalas pesanan yang diterima. Dihantar.

"Hai, menung jauh nampak? Dah tu senyum sendiri pulak." Fatimah menegur dari dapur. Sejuk hatinya melihat anak perempuan seorang itu tampak gembira. Manis wajah Salmah, semanis wajah dirinya di masa muda.

"Kau dengan budak tu. macam mana?" Soalan maut di pagi hari.

"Macam mana apa, mak? Budak mana? Ish. Mak masak apa pagi ni? Sedapnya bau!"

"Kau tak payah nak alih-alih tajuk. Orang bercinta memang macam tu. Angau. Mak belom masak lagi kau dah bau sedap-sedap." Pedas ibu Salmah membalas. Untuk seketika, tersipu Salmah dibuatnya. Kebas muka.

"Mak tak tahu kamu dengan dia macam mana. Tapi mak tengok rancak juga kamu dengan telefon." Fatimah menyambung pantas - sebelum anak gadisnya itu mula berhujah bertingkah menepis. "Kalau kamu dah berkenan, mak tak ada masalah. Cuma nanti kenal-kenalkanlah budak tu elok-elok dekat mak, dekat ayah."

*******

Hujan belum berhenti

Salmah diam. Senyum tidak, monyok pun tidak. Dia faham akan maksud ibu tercinta. Namun, dia juga faham yang ibu tercinta tidak dapat memahami dirinya - mungkin belum memahami. Benar, memang dia rancak berutusan pesanan dan seumpama. Namun... Hatinya bingung. Hatinya masih dibelenggu luka lalu. Luka yang hampir mungkin membuatkan Salmah serik ingin berkasih. Lagi.

Lagipun, mungkin belum masanya untuk Salmah menerima siapa-siapa dalam hidupnya. Bukanlah terlalu memilih, bukan berdolak-dalih. Tetapi dia, belum bersedia. Cukuplah hatinya yang dilukai; tidak mahu pula dia melukai.

Fatimah pun tahu. Derai hati yang luluh bukanlah mudah untuk dikutip dan dicantum semula. Fatimah tahu, cebisan hati yang dihiris bukanlah sesuatu yang mudah diubati dan dijahit semula. Fatimah tahu, anaknya tegar berusaha bangkit dari jatuh yang tinggi. Tiap kali Salmah berdoa, jelas terpancar di wajahnya sinar ketulusan mengharap redha, belas dan petunjuk Ilahi. Dan demikian jugalah Fatimah, demi Salmah. 

Wanita yang berusia menjangkau setengah abad itu membasuh tangannya. Sayur-sayuran di sinki ditinggalkan. Tuala kecil di pintu peti sejuk dicapai; mengeringkan tangan. Perlahan, Fatimah melangkah keluar dari dapur, menuju ke arah Salmah yang sedang duduk-duduk di bangku rotan pusaka peninggalan keturunan mereka. Salmah menoleh ke arah ibu yang sedang melangkah mendekati. Bingkas dia membetulkan kusyen yang tadinya tunggang-langgang, menyediakan tempat buat ibu melabuhkan punggung disebelahnya. Tersenyum Salmah, lebar.

"Ala... mak carikanlah. Ye? Ye?"

"Eh budak ni. Kau ke yang nak kawen, ke... kau nak mak yang kawen? Ayah kau nak letak mana?

Serentak dua beranak itu ketawa. 

Fatimah duduk di kiri anaknya itu. Dirangkulnya Salmah. Dipeluknya erat. Kasih ibu sampai ke syurga. Dahi Salmah dikucup lembut. Fatimah dan anak gadis manja itu saling berpandangan. Di dalam hati, mereka saling berdoa dan mendoakan.

********

Hujan masih belum berhenti

3 comments:

Ros Anisza said...

sambung cepat!

Ain said...

cepat sambung. cepat sambung

antara said...

hehee... ye ye.. insyaAllah.. ^^"