SOCIALIZATION

Friday, January 20, 2012

Kisah 27 Safar

“And We have appointed the night and the day as two signs. Then, We have obliterated the sign of the night (with darkness) while We have made the sign of the day illuminating, that you may seek bounty from your Lord, and that you may know the number of the years and the reckoning. And We have explained everything (in detail) with full explanation.” (Al Isra 17:12)


************

Bening malam dihampar dengan jutaan bintang di langit nan kelam. Sunyi. Baru tadi kedengaran azan Isya' dilaung dari surau kariah tengah kampung itu. ah, serak suara sang muadzzin sahajalah yang bergaul dengan bunyi cengkerik.


     "Abang.. Ya rasa lain macam la." keluh Salmiah, perlahan. Kerut dahinya bukan main. Wajahnya mencuka seperti baru mengunyah peria muda. Kelat. Pahit.


Ya. Itulah panggilan manja Ramli terhadap Salmiah, isteri yang dinikahinya puluhan tahun lalu. Ringkasnya daripada Norlia. Hanya mereka dan penduduk Sungai Burung sahaja yang tahu menahu asal-usulnya panggilan Norlia itu.


     "Ya?? Allah. Mana nak cari orang ni? Ya, sabar, Ya. Abang cari kereta."


Usianya yang bakal menjangkau setengah abad telah mematangkan Ramli. Kalau itulah rungutan si isteri, dengan saratnya kandungan yang dibawa; tiada lain yang terlintas dalam kotak fikiran dan benaknya - masanya dah sampai.

1964 merupakan tahun keramat bagi Ramli dan Salmiah. Cinta yang tiada pucuk pangkal - hanya berbekalkan usaha, berkat dan restu kedua orang tua - mereka disatukan dalam majlis yang sederhana. Alhamdulillah... perkahwinan yang diredhai, mereka dianugerahkan seorang anak perempuan, anak sulung bagi keluarga itu. Nurazlinda nama diberi. Kehadirannya cukup istimewa, bertuahnya amat dirasa.
Namun, setelah bayi comel itu menjangkau usia remaja, hanya dialah yang menjadi peneman Ramli dan Salmiah. Dalam mensyukuri kurnia Tuhan itu, harus pernah terdetik di hati kecil Salmiah untuk membelai bayi lagi. Tapi Tuhan lebih mengetahui, apa yang terbaik buat mereka sekeluarga. Tertulis sudah di jalan hidup mereka, kesunyian itu sememangnya panjang dan perit untuk diharungi. Qada' dan Qadarnya begitu.
13 tahun. Penantian 13 tahun yang penuh pengharapan; kini menampakkan sinar. Setelah berbagai cara dan ikhtiar dilaksana... walau hampir dan sangat hampir kesemuanya menemui kegagalan; maka dengan takdir dan kuasa Ilahi, Nurazlinda bakal menjadi kakak! Terbit air mata kesyukuran dan kegembiraan di mata Ramli dan Salmiah. Impian mereka ingin menimang seorang lagi cahaya mata kini makbul!

Peluh memercik di dahi Salmiah. Kerutnya tidak surut. Ramli yang pada hakikinya seorang yang tenang; kini tampak gelisah - penangan isteri hendak bersalin. Tempias peritnya Salmiah yang sarat itu kini terpancar di wajah Ramli. Cemas.


     "Abang!! Tolong!!!"


Jeritan itu memecah sepi malam. Jantung kedua-dua hamba Allah itu berdegup kencang. Padu. Ramli berlari ke sana ke mari, mengetuk pintu rumah jiran-jiran berdekatan. Keluarga ini bukanlah keluarga berada. Motorsikal Honda Cub itu sahaja yang menjadi tunggangan Ramli ke tempat kerja. Nah. Masakan ingin mengangkut Salmiah yang sudah mahu meletup itu ke hospital dengan motorsikal? Baek-baek terlahir anak mereka di rumah, silap haribulan tertinggal di tengah jalan. Meraung lagilah Salmiah buat kesekian kalinya.


     "Ya! Abang dah telefon ambulan! Ya, bertahan, ya! Ingat Tuhan, ingat Tuhan."


Kampung Sungai Burung yang tadinya hening, kini riuh rendah dengan suara manusia. Memekik dan menjerit. Cemas, sayu, gembira. Perasaan penduduk bercampur baur. Ibu-ibu sanggup meninggalkan anak mereka di rumah bersama suami, demi menemani Salmiah yang kini bertarung nyawa dengan keadaan. Ada yang cuba menenangkan Salmiah, ada yang memeluk erat Ramli, ada yang membaca ayat suci Al-Quran; agar segalanya dipermudahkan Tuhan.

Ramli seorang pekerja KEMAS. Salmiah juga merupakan anggota KEMAS. Nama kedua mereka sudah lama meniti di bibir anak-anak Cina dan nelayan di pekan Tanjung Piandang. Bukan kerna mereka berdarah Tionghua, atau berketurunan Hakka. Tetapi mereka merupakan guru yang mengajar anak-anak kampung; anak pesawah dan nelayan di pekan itu erti pendidikan.
Pergilah ke mana ceruk kampung, pergilah ke serata pelusuk pekan. Satu daerah Kerian kenal Ramli Pilus. Satu daerah Kerian kenal Salmiah Saidin. Cikgu KEMAS yang gigih mengajar ilmu kepada Ah Huat, Lim, Sivarajah, Ah Chai motor, Neelam, Pak Din, Pak Tam Non serta anak-anak mereka. Siapa tidak kenal Ramli Pilus, seorang suami dan ayah yang gigih mencari ubat dan penawar, bagi mendapatkan zuriat untuk mewarisi nama keluarga. Untuk menunaikan hajat isteri tercinta.

Ramli tidak menunggu lama. Setibanya ambulan di halaman rumah, dia segera mengendong isteri tersayang ke atas pengusung, lantas terus ke dalam perut ambulan. Bingit telinga orang kampung dek bisingnnya siren kenderaan kecemasan itu. Sebingit telinga yang mendengar, sekuat itulah debar di hati mereka - mendoakan kesejahteraan dan keselamatan Salmiah dan anak yang bakal dilahirkan - sambil melihat ambulans itu pantas berlalu, menghilang di hujung jalan kampung yang tiada berturap itu.


     "Kita kena cepat! Sini tak boleh terima pesakit nak bersalin, kelengkapan kita tak cukup masa ni!"


Ah sudah. Bala apakah ini!? Sudahlah perjalanan 30 minit lebih dari kampung ke pekan Parit Buntar ini diharungi dengan penuh liku dan lopak. Sampai sahaja di hospital, ditolak keluar pula. Ramli hampir menangis melihat isterinya perit menahan kesakitan. Hendak dibantu namun apalah dayanya. Kalau dipaksa bersalin, mungkin bayi yang bakal disambutnya itu akan dibaluti kain putih pada keesokan harinya. Malah, tidak mustahil jika Salmiah turut dikafankan pada hari yang sama. Jiwa Ramli berkecamuk.

Hendak sahaja Ramli menghentakkan sikunya selaju mungkin ke wajah pegawai hospital yang tidak mahu menerima isterinya bersalin di situ. Namun disekat niat itu, atas alasan rasional. Benar. Andai kelengkapan tidak mencukupi, itu juga bahaya yang mampu mengundang bencana. Ramli menggenggam erat tangan Salmiah, memberikan isterinya kekuatan dan ketabahan. Mereka hanya mampu berdoa. Dia hanya mampu berdoa.


     "Ya, sabar. Bawak mengucap, Ya. Abang ada ni. Abang sentiasa ada dengan Ya."


************

     "Cepat sediakan bilik untuk pesakit! Panggil staf semua turun!! Kod merah!"

Salmiah diusung keluar dari perut ambulan dengan kadar segera. Pantas petugas-petugas kecemasan di Hospital Taiping menjalankan tanggungjawab mereka. Ah, mungkin mereka telah diberitahu terlebih dahulu mengenai kes ini, ketika dalam perjalanan ambulan yang memecut laju meninggalkan hospital Parit Buntar menuju ke Taiping General Hospital. Tangan Salmiah masih digenggam erat. Ramli tidak putus-putus mengajar isterinya beristighfar dan mengucap kalimah syahadah, mengingati Tuhan yang Esa.

Termenung. Ramli termenung di bangku plastik berwarna biru, di wad bersalin Dahlia. Sanak saudara yang hadir, juga membisu. semuanya kelesuan, keletihan. Letih berperang dengan perasaan. Masing-masing berdoa. Dan mereka - hanya mampu berdoa. 

Jam sudah melepasi duabelas tengah malam. Sudah masuk hari baru. Sudah 21 Oktober. Rabu. Di bangku plastik wad Dahlia, ada jiran tetangga mereka. Ada sanak saudara mereka. Ada yang tertidur, ada yang masih berjaga. Tapi Ramli terus bersengkang mata, tidak putus berdoa kepada Yang Maha Kuasa. Tiada lain yang dipinta - hanya keselamatan anak dan isteri tercinta.

Detik dua - tiga minit pagi. Daun pintu wad bersalin dibuka. Bingkas! Semua yang hadir bingkas bangun, meluru ke arah doktor yang berpakaian hijau, yang baru sahaja tampil dari bilik di mana Salmiah dimasukkan beberapa jam lalu. Yang tidur turut terjaga, menggosok-gosok mata, memasang telinga. Semua ingin mendengar perkhabaran yang dinantikan. Dalam hati mereka terus berdoa. Ramli - tetap berdoa.

"Encik Ramli. Tahniah. Isteri dan anak encik selamat. Anak laki-laki, encik." ujar doktor berbangsa Cina itu dengan senyuman lebar. Ikhlas.


"Ya Allah~. Syukur, alhamdulillah!"


Melutut Ramli di lantai marmar wad itu tatkala diberitakan khabar gembira, yang sememangnya dinantikannya. Doa, usaha, ikhtiar, harapan dan penantian dia dan isteri selama-lama ini.... kini termakbul! Berlinang air mata kesyukuran, mengalir deras dari kelopak mata seorang suami, seorang ayah yang setia. Senyum riang, tawa dalam linangan air mata. Ah, indahnya kehidupan. Khabar itu disahut dengan ucapan syukur dan tahniah oleh mereka yang hadir bersama, yang menjadi saksi detik bersejarah tersebut.

*************

Salmiah belum lagi kering air matanya. Namun perit jerih yang ditanggungnya tidak lagi dipedulikan. Air mata terus mengalir - air mata kegembiraan. Senyumnya terukir indah, tatkala melihat suami tersayang melangkah masuk, segak bersongkok dan berbaju melayu, hadir dengan penuh kekuatan jiwa yang dikongsi bersama sejak puluhan tahun lamanya. Di pangkuan Salmiah, ada seorang bayi kecil. Bayi yang baru sahaja dilahirkannya. Bayi yang dinanti sejak sekian kala.

Tiada kata yang terungkap bilamana dua pasang mata itu bertemu. Hati mereka sebak. Hanya mereka dan Tuhan sahaja yang mengerti. Digenggamnya tangan Salmiah seerat-eratnya. Dikucupnya dahi Salmiah lembut. Ditiupkan hembusan doa ke ubun-ubun Salmiah. Ramli bersyukur.

Malam itu tiada bulan kelihatan. Malam itu hanya bintang menjadi peneman. Dalam sorotan lampu kalimantang, kelibat kecil seorang bayi jelas tampak lemah dalam dakapan ibunya. Halus jemarinya. Mulus kulitnya. Matanya terpejam erat. Mulutnya tertutup rapat. Diangkatnya bayi itu, ditatang dengan penuh kasih sayang. Ramli melaungkan azan dan iqamah ke telinga anak lelakinya, anak lelaki dia dan Salmiah.

"Hari ini berapa haribulan?"

"21 Oktober"

"Tarikh bulan Islam?" 

"27 Safar, Ramli."

Salmiah tersenyum. 

1 comment:

Anonymous said...

kepada penulis..

pengkisahan ni cukup indah, sampaikn sy dpt menjiwai bait2 cerita dgn teliti.

tak keterlaluan sy cakap... saudara mmg seorang yg cukup matang untuk menulis sebegini. tahniah.

teruskan menulis ya?