Saturday, June 16, 2012

Menanti Mentari - Kopi


"Takpe lah awak... saya tahu siapa saya."




"Apa awak cakap ni?" Salmah mengerut dahi. Matanya merenung tepat ke wajah Rahmat yang kelihatan senyum tawar bersahaja. "Awak tahu saya macam mana kan?"

Rahmat tidak mengangkat muka. Dia terus menerus memerhatikan pekat kopi tanpa gula yang tenang tidak berkocak dalam cawan porcelain berwarna putih krim. Sekali sekala dia meniup wap yang terbit dari minuman panas itu. Sudu kecil yang diminta tadi belum berusik.

Rahmat menghela nafas panjang. Dialihkan pandangannya memerhati wajah Salmah yang jelas suram. Dia menyambung bicara..

"Salmah... Awak ingat tak lagi? Dulu saya pernah cakap yang saya nak fahami awak?

Salmah membisu seribu bahasa.

"Saya janji untuk terima awak seadanya, kan?"

"Dah tu? Kenapa awak merepek bukan-bukan pulak hari ni?" Salmah mula melontar ketidakpuasan hatinya dengan lebih lantang. Wajahnya yang putih gebu, jelas tampak sedikit kemerahan. Kemarahan.

*****

Siapa yang tidak kenal Salmah. Gadis manja yang mempunyai pakej lengkap sebagai seorang anak, seorang kekasih, seorang isteri - bahkan persis seorang ibu. Parasnya indah menjadi siulan anak teruna berbilang umur. Pekertinya tinggi didamba ibu-ibu yang teringin benar bermenantukan gadis sepertinya. Sebagai anak, hampir segenap keluarga pernah berkata pada ibu Salmah - yang mereka berdoa agar mempunyai anak seperti itu.

Andai rupa dan susila sebagai nilai tambah, ukurlah Salmah pada terasnya. Walau jarang ke surau untuk berjemaah, namun dia mengaji Quran di hampir setiap kali selesai solat. Walau dahulu rambutnya ikal lurus dilepas bebas atau disanggul  kemas, namun hidayah itu milik Tuhan - tudung bawal menjadi pilihan - hikmah perkenalannya dengan Rahmat.

Salmah dan Rahmat.

*****

Pagi belum meninggi. Mentari bermalasan menyinar, membiarkan awan nan mendung menapis terbit pancarnya. Di sekitar pasar orang ramai sibuk berjalan berhenti; berjual beli. Pagi minggu yang berkabus. Dingin memeluk tubuh sepasang manusia yang sedang duduk-duduk di meja gerai - meneliti renungan masing-masing. 

"Baiklah.. " Rahmat cuba memecah kesunyian. "Saya.. risau."

Dahi Salmah yang licin kembali berkerut. "Awak risau apa? Cuba awak cakap elok-elok sikit?" Tegas.

"Saya risau .. yang awak... Saya taknak hilang awak"

Rahmat mengangkat muka, merenung tepat ke wajah sugul penawar rindunya. Dia tahu, butir katanya tadi sudah dapat diagak Salmah.

Namun, bagi Rahmat kerisauannya berasas.

Bukan calang-calang lelaki yang mendekati Salmah. Dari yang berstatus pelajar, hingga yang berkerjaya hebat - semuanya dalam senarai mencuba nasib. Entah  berapa utas rantai dan gelang tangan hadiah pemberian jejaka-jejaka tampan dipulangkan kembali. Belum kira cincin mutiara yang Salmah terima lantas dicampaknya ke tasik dek perangai lelaki yang mendesak dan menjengkelkan.

Namun Salmah tetap Salmah. Kawannya beribu. Pengarang jantungnya tetap satu. 

Itu katanya - bukan Rahmat. Salmah tahu benar. Faham benar maksud Rahmat. Tetapi, bukankah mereka saling berjanji untuk sedia setia?

"Awak... awak tahu saya macam mana kan?"

Rahmat membisu. Air kopinya belum diteguk. Sejuk. Untuk seketika dia berfikir - apa perlunya sudu, sedangkan kopi yang dipesan tidak bergula?

Awan mula menipis. Mentari tersenyum. Namun Rahmat.

*****

3 comments:

Anonymous said...

alaa.. kenapa pendek citer kali ni~~

aleen aiden said...

apa gunanya sudu sedangkan kopi yg dipesan tak bergula. ini deep ni. deep

antara said...

ehe..