SOCIALIZATION

Monday, June 18, 2012

Jom Melawat Perak! - Visit Perak 2012: Yours To Discover

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam hormat, salam muhibbah, salam perpaduan! Salam 1Malaysia. =)

Kita mulakan entri kita kali ini dengan sedikit trivia~


1. Namakan negeri kedua terbesar di Semenanjung Malaysia

2. Negeri manakah yang pertama sekali mempunyai nombor pendaftaran kenderaan mengikut negeri di Malaysia?

3. Pada tahun 1824, negeri manakah yang diisytiharkan sebagai negeri paling kaya dengan galian timah di dunia?

4. Semenjak diwariskan daripada Kesultanan Melayu Melaka, Keris Taming Sari selamat disimpan dan diwarisi sehingga kini oleh Kesultanan Negeri ...........?

5. Saya (penulis) adalah anak jati negeri ............?


yaaa... tidak lain dan tidak bukan.. tentu sekali negeri Perak Darul Ridzuan!!


Bersempena dengan Tahun Melawat Perak 2012 ni... acer teman ghase nak kabor ke mengkome semue... ape yang menarik kat negeri teman yang tercinte nih. nak tau? nah!







tapi mungkin ramei yang dah biase benor dengor name tempat tu semue. jadi! teman nak kabor yang tak ramei oghang tau. boleh? =D

ok2.. kita guna bahasa standard ye.. hihi~ jom saya bagi sedikit pengenalan mengenai tempat-tempat menarik yang boleh anda kunjungi, serta aktiviti-aktiviti yang unik, di negeri Perak.

Tahukah anda, negeri Perak mempunyai dua loghat yang dituturkan penduduknya mengikut daerah? 8 daripada 9 daerah di Perak menuturkan bahasa Perak; cuma 1 daerah sahaja (Kerian) yang mana penduduknya lebih menguasai loghat utara (cth; Kedah, P. Pinang). Jadi anda akan mendengar perkataan-perkataan seperti "kome", "mike," "reben-teben," "tak sior" dari Hilir Perak, Batang Padang membawa ke Kinta, Hulu Perak, Larut Matang dan Selama - tetapi "hangpa," "depa," "loqlaq" dan "tak buloq" di Kerian.


Negeri Perak turut dikenali dengan kemahiran pertukangan bot nelayan dan perkapalan yang bermutu tinggi. Untuk pengetahuan anda, Tanjung Piandang, Bagan Tiang dan Kuala Kurau mempunyai perkampungan nelayan yang kerap menerima tempahan untuk menghasilkan bot-bot nelayan dari serata negeri, sehinggalah ke luar negara. Berkunjunglah ke sana untuk menyaksikan sendiri kehalusan seni pertukangan warisan negeri Perak.


Anda penggemar makanan unik? Mungkin anda biasa mendengar atau pernah merasa keenakan 'Rendang Tok' - sajian lazat dimakan bersama ketupat, lemang dan nasi himpit, terutamanya di musim perayaan. Rendang Tok amat signifikan dengan negeri Perak, kerana kelainan cara penyediaan serta rasanya berbanding rendang dari negeri lain. Mungkin anda boleh mencuba rendang tok di Hilir Perak - di mana mereka gemar menggunakan daging kerbau sebagai bahan utama rendang tok di sana.


Bagi mereka yang sukakan durian, tentu sekali mengenali Perak sebagai salah satu negeri pengeluar durian yang popular! Jika Ipoh dikenali dengan buah limau bali-nya, Kuala Kangsar, Taiping, Bruas dan Bukit Gantang turut menempa nama sebagai kawasan yang mempunyai dusun durian dan buah-buahan yang berkualiti. Anda mungkin pernah merasai kemanisan dodol, namun pernahkah anda mendengar perkataan 'lempok'? Merasanya? Penggemar durian sekalian, berkunjunglah ke Perak tengah dan utara bagi menikmati kelazatan lempuk asli adunan tradisi turun temurun.


Tidak lengkap rasanya kunjungan anda ke negeri Long Jaafar ini andai tidak membawa pulang ole-ole unik khusus mencirikan negeri Perak. Bertandanglah ke perkampungan nelayan, dan bawalah pulang ikan pekasam dan wadi yang sungguh menyelerakan. Tinggalkan ikan talang masin atau gelama kering - pekasam ikan sepat, pekasam ikan seluang dan kaloi tentu menggamit selera sesiapa sahaja yang menghidunya!

Jika labu sayong sudah menjadi ikon negeri Perak, maka bolehlah anda membeli tenunan indah bak sulaman istana - Tekat Benang Emas negeri Perak. Hanya jauhari mengenal manikam - anda boleh membeli tepak sireh baldu bertenun mesin yang banyak dijual di kedai, dan bandingkan dengan tepak sireh bertekat benang emas tenun asli negeri Perak. Pasti sahaja anda akan terpikat dengan keindahan dan kehalusan seni tampak tekat benang emas daerah Parit dan Kampung Padang Changkat, terutamanya.




Bersempena bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi, serta hari raya yang menjelang, saya selaku anak jati Perak mengesyorkan anda berkunjung ke negeri indah nan permai ini - dan nikmati keindahan panjut pelita buluh yang dinyalakan di malam hari di bulan Ramadhan menjelang Syawal, serta keasyikkan dentuman meriam buluh yang memecah bening malam sehingga subuh! Satu tradisi yang menjadi simbol kekuatan budaya dan warisan di negeri Perak. Anda pasti teruja!

Sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan dengan pembaca sekalian. Jika diizinkanNya, saya akan menulis lebih banyak mengenai negeri Perak ini di lain entri.

Sekiranya terdapat kesilapan fakta atau informasi yang ingin dikongsikan, saya mengalu-alukan pembaca sekalian membuat ulasan di ruangan komen. Terima kasih atas kerjasama saudara/saudari. =)

Jadi, apa tunggu lagi? Moh kite ke Perak! Yours To Discover. ^^


pautan: Perak Tourism, Blogger Perak, warisan tekat benang emas

3 comments:

Cik Ros said...

MENGIKIT??? Aan, awak typo..hahhaha
by the way, nice entry..

Anisa Hang Tuah said...

saya suka perak

sebab incik abang sy org perak

hewheww

jom melawat perak!

Antara said...

tenkiu chekgu ros! ^^

nis. sila cepat2 berkendurik di perak. mohon doa jadi. ameenn~ =D