Monday, July 9, 2012

Perginya Seorang Budayawan - Mak Ungku Azah Aziz

negara merasa kehilangan tatkala Azah Aziz, seorang pejuang budaya dan bangsa, telah pergi meninggalkan kita semua buat selama-lamanya, pada hari ini; Isnin 9 Julai 2012, bersamaan 19 Syaaban 1433 H.

beliau dikhabarkan meninggal dunia akibat strok, kira-kira jam 10 pagi tadi. jenazah beliau dibawa ke masjid Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar untuk disolatkan, dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar. beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 84 tahun.



Mak Ungku, (Azah Aziz) atau nama sebenarnya Sharifah Azah Mohamed Alsagoff merupakan isteri kepada Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Halim, juga bonda kepada Gabenor Bank Negara; Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, merupakan seorang yang tersohor sebagai pendokong seni dan budaya, terutamanya warisan bangsa Melayu.

sepanjang hidupnya, beliau amat menitikberatkan keterpeliharaan warisan busana dan berpakaian dalam budaya Melayu khususnya, sehinggakan beliau menulis buku "Rupa & Gaya; Busana Melayu" demi menterjemahkan ketelitian dan kehalusan seni yang amat disanjungnya itu.




Mak Ungku amat menekankan keperincian dan ketertiban yang tepat dalam mengenakan busana Melayu, terutamanya dalam penggayaan baju kurung.

Allahyarhamah juga gemar mengumpul kain dan fabrik yang menjadi simbol kehalusan dan keindahan bangsa , sehinggakan beliau mempunyai koleksi fabrik yang dikatakan antara yang terbaik yang pernah diperolehi daripada Alam Melayu.


Semoga kepergian Mak Ungku diiringi doa dan amal beliau diterima. sama-samalah kita berdoa buat allahyarham; semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan dikasihiNya.

Al-Fatihah

1 comment:

Some Tea along the road... said...

:) tengokkan rupa idaklah melayu benor tapi Allahyarhamah pecinta Melayu. Malangnya sekarang ni, yg rupa melayu betoi tak sayang kat bangsa sendiri. Sayang.