SOCIALIZATION

Thursday, March 8, 2012

Menanti Mentari - Coklat




Dalam kelesuan, Salmah menyeluk poket tas tangan. Dikisar segenap ruang, hingga menemukan jemari runcingnya dengan segugus kunci pelbagai saiz. Nah, sejambak anak kunci yang terpaut antara satu sama lain dek gegelang rantai logam tahan karat yang dibelinya ketika mula-mula sampai di Home of the Brave itu. Lantas, dibeleknya satu persatu.

Lemah, kunci besi itu diputar mengikut kitaran jam. Daun pintu lantas dikuak perlahan ke dalam. 

"Bismillah.."

Salmah melangkah masuk ke dalam apartmentnya. Boot baldu yang menyarung kaki Salmah dari tapak hingga paras lutut dilucut, diletakkan di rak kasut betul-betul di balik pintu. Salmah tahu, bukanlah kebiasaan orang di sini membuka kasut ketika berada di dalam rumah. Namun, budaya timur itu masih kuat terpahat dalam jiwanya. Lagipun, kasut sudah kotor dan dibasahi air. Masakan dia mahu lantai dan permaidani rumah dikotori?

Jaket kulit biri-biri yang memeluk tubuh Salmah sedari pagi lagi kini ditanggalkan, lantas disidai bersahaja di kerusi kayu meja makan di dapur. Dingin. Fikirannya menerawang seketika. Apa hendak dibuat sekarang? Dalam masih berseluar denim biru lusuh potongan demi-curve serta cotton blouse putih berenda nipis, dia merebahkan diri di atas sofa menghadap televisyen.

Untuk seketika, dirasakan tubuhnya cukup tiada berkudrat hatta mahu bangkit duduk. Enak sahaja dia berangan mengenai... Eh!

Bingkas, dipaksa badan yang tidak bermaya itu bangun. Segera. Dengan hayunan kaki yang longlai, Salmah terus menuju ke bilik tidurnya, menyalin pakaian yang tidak bertukar semenjak pagi. Dan kini senja berlabuh, menuntut Salmah membersihkan diri segera - sebelum dia terlelap di sofa ruang tamu dengan pakaian yang sudah lembab seperti tempoh hari.

Mandi.

*****

Matanya meliar mencari baju yang sesuai untuk dipakai, sambil tangannya menyelak helaian-helaian pakaian yang tergantung kemas dalam almari. Salmah mencari baju kapas tebal yang dibelinya ketika jualan penghabisan stok musim panas lepas. Dia yang hanya berkemban tuala mempercepatkan pencarian. Sejuk!

"Jumpa pun!" jerit Salmah. senyumnya lebar. Terus, disarungnya baju sejuk labuh jalinan kapas berbulu-bulu itu ke badannya, seraya melurutkan tuala yang tadi membaluti tubuh. Lega. Nyaman.

Salmah melangkah perlahan menuju ke dapur, sambil tangan mengikat kemas rambutnya yang panjang dan lembut, membentuk sanggul sederhana tinggi di belakang kepala. Penyepit rambut yang dari tadi digigit, kini kemas mengikat sanggul. Dingin lantai marmar terasa di tapak kaki. "Now where's my tea..."
Dicapai mug porcelain bercorak logo "Detroit Red Wings". Sesudu demi sesudu serbuk coklat dituang ke dalam mug, lantas ditekan butang 'hot' pada water dispenser. Air panas ditadah sehingga memenuhi tiga suku mug. Dua sudu kecil gula halus. Kting, kting, kting, bunyi sudu besi berlaga dengan kaca.

*****

Di tangan kanannya segelas coklat panas. Di tangan kiri, alat kawalan jauh. Dia menekan butang 'power' pada alat kawalan jauh seraya menghalakannya ke pemanas udara yang melekat utuh di sudut siling ruang tamu. 

"Eh, kenapa tak berbunyi? Alah, rosak lagi ke... haih.". 

Alat kawalan jauh dilemparnya ke sofa. Terus, dia ke dapur semula. Salmah mencapai kerusi kayu dari meja makan. Diseret perlahan ke tepi jendela kaca jernih menghadap pemandangan sungai Charles. Coklat panas sudah suku gelas dihirup. 

Sayup dari luar bunyi kenderaan di bandaraya Boston. Hujan-hujan begini, biasalah. Kesesakan itu wajib.

Salmah merenung jauh ke luar tingkap. Tembus, melebar ke ufuk sana. Kelibat mentari tiada lagi kelihatan. Hanya pancaran lampu-lampu neon di bangunan-bangunan tinggi menghiasi hamparan malam. Salmah mencapai telefon tanpa wayarnya.

"Enam... kosong.. lima.. ", dia menyebut satu persatu angka yang ditekan pada gagang telefon.
Menanti seseorang di hujung talian.

.
.
.
.
.
.
.


"Hello? Assalamualaikum! Mak!"

"Waalaikumussalam. Salmah, kau ke tu?"

"Ye mak! Haha. Mak sihat? Masak apa tengah hari ni?"



No comments: