SOCIALIZATION

Thursday, March 1, 2012

Menanti Mentari - Tetamu Fajar



"Jangan tinggal solat. Jaga iman, jaga akidah. Jaga akhlak. Ingat pesan arwah abah. Duduk kat tempat orang, jangan lupa tempat sendiri."

"Ye mak. Orang paham. Orang ingat semua tu."

"Kau pergi sorang. Balik jangan berdua pulak. Bertiga lagi la mak tak nak! Tak payah nak cari yang putih-putih, tinggi-tinggi, hidung mancung semua. Balik sini, cari yang berilmu, yang beragama. Mak pesan siap-siap, nanti tak la kau cakap aku tak larang kau dari mula."

"InsyaAllah, mak. Doa-doakan lah ye."

"Mak doa. Yang nak buat tu kamu. Nak jadi baiknya pun kamu, nak jahatnya pun kamu.."

"Alaa. Orang tau la."

"Melawan, melawan."

"Hehe. Sayang mak!"

Salmah tersenyum sendiri. Bait-bait tutur ibunya yang tak pernah jemu mengomel dan berleter itu berlegar dalam fikiran, terngiang-ngiang di telinga; membuatkan hatinya sayu. Sebak, mengenang bonda di kampung halaman. Apalah khabar ibu di sana, cetus hati Salmah. Rindu.

Di tangannya sekuntum bunga tulip putih yang baharu dipetik. Segar masih baunya. Di dalam kelopak tulip, tertakung air embun semalam. Dingin.

Angin di awal musim luruh sememangnya sudah cukup dingin. Jika sepoi petang yang menyapa sudah menusuk sampai ke tulang, inikan pula bayu pagi selepas hujan malam tadi. Menggigil juga tubuh kecil Salmah dibuatnya. Jaket kulit biri-biri buatan Kanada yang dibeli semasa bersiar-siar di Toronto tempoh hari itu belum cukup mampu untuk menepis rasa sejuk hembusan pawana bumi bertuah Boston. Secangkir kopi panas di dalam gelas porcelin buatan negara China itu cepat sahaja menjadi suam. Dalam suram terbit fajar, Salmah berlapang dada, menghela nafas panjang.

Sang suria belum muncul, walau kelibatnya kian dirasa. Jalur-jalur cahaya di kaki langit yang membumbungi Charles River seumpama untaian-untaian reben jingga yang menghiasi dinding kamar Salmah di hostel. Andai dia masih di biliknya di perkampungan pelajar Boston University, sudah tentu disambar kamera Nikon pemberian bekas tunangnya lantas memekup lensa di cermin tingkap untuk mengabdikan saat-saat nan indah seumpama itu. Sungguh, kegemarannya ialah mengambil gambar. Dan itulah juga satu-satunya kamera digital yang dimilikinya. Disayanginya.

Di bangku kayu di tebing sungai Charles, Salmah termenung sendirian. Kakinya menguis dedaun perang dan kuning yang gugur daripada sebuah pohon rendang yang memayungi bangku kayu tempat dia menyandar tubuh. Di tangannya sekuntum bunga tulip putih yang baharu dipetik. Segar masih baunya.

*****

Takdir penentu segala. Dua minggu selepas Rahmat dikebumikan, barulah Fatimah menyampaikan surat terakhir daripada Rahmat buat Salmah - sepertimana yang diwasiatkan arwah. Surat yang menjelaskan semua persoalan dan menjawab segala pertanyaan yang timbul bermain di benak Salmah. Marahnya bertukar sedih, berangnya bertukar pilu. Lemah. Menangislah air mata darah sekalipun, akhirnya Dia akur menjadi orang terakhir yang mengetahui perihal barah hati tunangnya - sepertimana yang menjadi permintaan terakhir Rahmat sendiri.

"Awak lupakan saya, please?"

"Tapi kenapa!? Kenapa awak tiba-tiba...."

"Saya rasa kita dah buat silap, Salmah. Awak... tak sepatutnya terima saya."

"Awak dah gila ke, Rahmat? Awak sedar tak apa yang awak cakapkan ni!?" Salmah berang. Ikutkan hati mahu sahaja dia menjerit sekuat-kuat suara. Biar satu restoran terpinga, biar satu dunia tahu, yang dia sedang marah. "Kita dah bertunang, awak. Dah bertunang! Lagi tiga bulan kita nak kahwin, dan sekarang awak nak putuskan hubungan!?"

"Maafkan saya, awak. Semoga.... "

Belum sempat Rahmat menghabiskan ayatnya, sekeping penampar tangan kanan hinggap deras di pipi kiri, membuatkan pandangannya terpaling ke arah seberang jalan. Terlihat di cermin restoran - pantulan wajah Salmah yang merah padam, yang hanya bisa wujud tatkala Salmah betul-betul marah dan kecewa. Boleh sahaja Rahmat menepis atau membalas tamparan bakal isterinya itu. Namun tenang dia menerima. Rahmat lebih mengetahui. Dan Dia, Maha Mengetahui.

*****

Salmah menghirup kopi yang telah sejuk. Tiada lagi wap yang menerpa ke udara dari gelasnya. Diletakkan semula gelas di kerusi, lantas dia membetulkan tudung yang senget dek kerana kerap berpaling ke kiri kanan, mendongak ke langit dan menoleh kebelakang. Dilonggarkan sedikit ikatan reben kain berenda penuh di keliling pinggang jaketnya agar mudah dia bersenang-senang, duduk menanti insan dan janji. Sayup pandangannya menembusi bangunan-bangunan tinggi yang ada di pinggir sungai utama bandar Boston ini.

"Assalamualaikum." satu suara menyapa dari belakang. Salmah berhenti membetulkan tudung bawalnya.

"Waalaikumussalam. Eh? Bila awak sampai?" 

"Dah lama dah. Tapi saya pergi belikan sarapan untuk awal dulu. Nah." 

Salmah menyambut dulang berisi wafel dan pancake, beserta sirap mapel, mentega, madu dan vanila cair. Juga, secawan kopi Brazil yang masih panas, dibancuh khas mengikut citarasanya. Dengan menghidu sahaja, Salmah tahu - ianya cukup syarat.

"Syukran" balas Salmah, tersenyum. Ayu. "So, ke mana kita hari ni?"

"Kita ke Quincy Market? Kat sana ada something yang saya rasa... akan buatkan awak happy."

"Haha. Yakin sungguh awak ye." Salmah berseloroh. Suaranya lunak-lunak nyaring. "Baiklah. Bagi saya habiskan sarapan saya ni dulu." 

Salmah mengalihkan tas tangannya, lantas diletakkan di sisi kiri, memberi ruang buat tetamu fajarnya itu duduk. Di tangan Salmah sekuntum bunga tulip putih yang dipetik tadi. Masih segar baunya. Jalur-jalur jingga yang merentangi langit di atas sungai Charles kian gemilang. Mereka duduk, berbual, sambil menanti mentari.

4 comments:

Cikgu AL said...

nape Rahmat mati? huhu

Antara said...

erm... Tuhan lebih menyayangi dia? ehehe....~

Aesya Zealous said...

ahmat mati..huhuhu

Tuan Hijau said...

entry yang menarik der...hahahha baru hari ni aku nampak hg..::)