SOCIALIZATION

Saturday, July 9, 2011

Gempar!! Demam Kuning Melanda!

Laporan sekitar istiadat Bersih 2.0, 9 Julai 2011 di seluruh Malaysia (setakat jam 1.40 petang waktu tempatan)

- Polis seluruh negara dikerah bertugas lebih masa demi menjaga keselamatan dan mengawal keadaan, terutama di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan peserta perhimpunan Bersih, hari ini. Isteri-isteri kepada anggota keselamatan yang terlibat merungut akibat terpaksa menggosok baju lebih, tidak dibenarkan keluar rumah, selain terpaksa menyediakan bekal makanan buat suami mereka, agar tidak kelaparan semasa menjalankan tugas.



- Pengusaha-pengusaha stesen petrol tersenyum lebar akibat kebanjiran pemandu kenderaan yang berpusu-pusu mengisi petrol di stesen mereka sejak malam tadi. Mereka dan orang ramai telah menjangkakan kesesakan yang bakal berlaku di semua jalan-jalan utama, termasuk lebuhraya. Justeru, langkah memenuhkan tangki bahan bakar kenderaan diambil bagi mengelakkan kehabisan petrol ketika berada dalam kesesakan tersebut.

- Dalam pada itu, pengusaha bengkel baikpulih kenderaan turut menanti habuan mereka. Para mekanik menjangkakan akan menerima banyak kenderaan yang rosak bersempena perhimpunan Bersih 2.0 kali ini.
"Banyak kereta akan rosak clutch, brek, penghawa dingin, dan juga radiator akibat terperangkap dalam kesesakan bagi tempoh yang lama. Jadi kami telah menyediakan alat ganti lebih awal untuk memastikan pelanggan berpuas hati dengan khidmat penyelenggaraan yang terpaksa mereka jalani selepas Bersih 2.0 ini"

- Pengguna lebuhraya terutamanya pengguna Smart Tag dan Touch n Go kesal dengan kesesakan luar biasa yang berlaku. Menurut mereka, ramai pembayar tol secara tunai mentertawakan pengguna Smart Tag dan Touch n Go, kerana sama-sama tersekat dalam kesesakan lalulintas, biarpun kedua-dua alat tersebut sebenarnya berfungsi untuk melancarkan perjalanan para pengguna.



- Penyedia rangkaian telekomunikasi Digi menolak sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka telah menaja penganjur dan pendemonstrasi perhimpunan Bersih 2.0 sebagai tanda sokongan mereka terhadap acara 5 tahun sekali itu. Pengurus Digi yang Besar berkata, mereka kesal kerana dikaitkan dengan perhimpunan Bersih 2.0, walaupun penjualan kad prabayar dan pendaftaran nombor baru talian Digi meningkat dengan cemerlang sejak Bersih 2.0 diuar-uarkan.

- Tinjauan di hospital dan wad bersalin seluruh negara mendapati ramai bakal ibu cuba untuk tidak melahirkan anak pada hari ini, berikutan kebimbangan yang melanda. Para ibu percaya, bayi mereka akan mudah dijangkiti demam kuning sekiranya lahir pada hari ini, akibat demonstrasi Bersih yang bertemakan warna kuning.

- Syarikat penyedia dan pemborong kain terkemuka, Nakoya akan mengimport lebih banyak kain dan pakaian berunsurkan warna kuning berbanding warna lain, sempena musim perayaan yang bakal tiba. Pengarah Operasinya berkata, warna kuning diramal akan menjadi tema pakaian bagi kebanyakkan penyokong dan pengikut Bersih 2.0 tahun ini, selain permintaan kain langsir dan alas meja berwarna kuning.
"Kita akan menjual kain dan pakaian bertemakan kuning dengan harga yang tinggi kerana ia amat popular sekarang. Tidak mustahil kuning juga bukan sahaja menjadi tema sambutan Hari Raya Aidilfitri, bahkan Deepavali dan juga Krismas!" Beliau berkata demikian kepada wartawan ketika ditahan polis semasa dalam perjalanan menghantar pakaian ke kedai dobi di Jalan Hang Jebat di ibu negara, pagi tadi.



- Beberapa kereta mewah yang diletakkan di sekitar hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman rosak teruk akibat perbuatan pendemonstrasi Bersih 2.0. Pemilik kereta mewah tersebut tercengang melihat kereta mereka yang bernilai hampir dan lebih sejuta ringgit itu digasak oleh para pendemonstrasi. Kereta-kereta mewah Ferrari F430, Audi R8, Porsche Carrera GT, Mercedes Benz SL 63 dan BMW X5 dicalarkan dan dirosakkan tanpa belas kasihan. Bagaimanapun sebuah kereta Chevrolet Camaro Bumblebee edisi terhad dan sebuah Nissan Sunny yang berada berdekatan kereta-kereta mewah lain tidak diapa-apakan.



*kami akan mengemaskini laporan dari semasa ke semasa! teruskan bersama kami. salam hormat.

2 comments:

anamizu said...

hurmmm demam kuning ni mmg teruk!!! huhuhu

Antara said...

nhehaha.. eh , serius ni. jangan gelak.

bwahahaha xD